Tarikh 14 Ogos tentu nasib KRW FC

Tarikh 14 Ogos tentu nasib KRW FC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pihak pengurusan Kelantan Red Warrior FC (KRW) menanti dengan penuh sabar keputusan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu persamaan identiti dengan Kelantan FC.

Bagaimanapun skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tetap meneruskan latihan dan perancangan yang diatur seperti biasa biarpun keputusan itu bakal diketahui dua minggu lagi.

Hal ini kerana pihaknya yakin isu pentadbiran membabitkan entiti lama iaitu Kelantan FC sebagaimana laporan surat rasmi yang diterima daripada FIFA itu adalah tidak berkaitan dengan kelabnya.

Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar surat maklum balas kepada badan induk dunia itu pada 26 Julai lalu iaitu dua hari sebelum tarikh akhir berbuat demikian.

“Ya kami sudah hantar dan jawab mengenai isu yang dibangkitkan kepada FIFA dua hari sebelum tarikh akhir ditutup badan induk bola sepak dunia itu.

“Kita tunggu keputusan rasmi FIFA pada 14 Ogos ini, isi dalam surat itu kita menafikan sepenuhnya dan tiada kena mengena langsung dengan kelab Kelantan FC.

“Setakat ini kita masih lagi ditahan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sehinggalah 14 Ogos ini baharu tahu keputusan, jadi dua perlawanan awal iaitu pada 4 dan 10 Ogos ini, kita dapat penangguhan memandangkan keputusan dua minggu lagi.

“Apabila FIFA umum baharulah FAM buat keputusan, jadi kita perlu tunggulah, tapi kita yakin kelab ini dapat bersaing dalam kancah Liga A1 nanti,” katanya ketika ditemui selepas tamat aksi persahabatan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi yang berkesudahan pasukannya tewas 0-6.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top