Tarikh keputusan Najib cabar wujud perintah tambahan YDPA 5 Jun ini

Tarikh keputusan Najib cabar wujud perintah tambahan YDPA 5 Jun ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Jun ini bagi keputusan sama ada membenarkan atau sebaliknya atas permohonan Datuk Seri Najib Razak yang mahu kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan perintah tambahan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Ini berkaitan Najib menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.

Difahamkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membuat ketetapan itu pada pendengaran prosiding dalam kamar secara fizikal yang hanya dihadiri pasukan peguam bekas Perdana Menteri dan Peguam Kanan Persekutuan  hari ini.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan media dan orang awam tidak dibenarkan hadir ketika prosiding sedang berjalan memandangkan peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah memaklumkan mahkamah prosiding kes itu dijalankan secara dalam kamar memandangkan terdapat isu sensitif.

“Semua dokumen sudah difailkan. Secara dalam kamar bermaksud ia boleh dibuat secara fizikal di mahkamah tetapi diisytiharkan dalam kamar.

“Saya juga diberitahu dan dimaklumkan kepada Peguam Kanan Persekutuan SFC, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly yang juga menerima idea itu memandangkan bahan-bahan tertentu yang didedahkan dalam afidavit sebelum ini yang sebenarnya sensitif,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan permohonan dan meminta semua media yang sedang membuat liputan keluar.

“Semua pihak lain tidak dibenarkan mengikuti prosiding ini termasuk pihak media,” ujarnya.

Untuk makluman, Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada awal bulan ini, Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Beliau kemudian memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.- MalaysiaGazette