Putrajaya: Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan diumumkan pada Isnin depan menerusi kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, kesemua persiapan berkaitan pengumuman keputusan peperiksaan itu selesai, namun pihaknya masih mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak sebelum tarikh rasmi diumumkan.
“Saya sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan mengenai tarikh pengumuman. Cadangan tarikh itu bukan satu tarikh. Ada dua, tiga, empat tarikh.
“Pengumuman tarikh itu juga berdasarkan nasihat daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP).
“Kita memahami ibu bapa dan calon ingin mengetahui bila keputusan akan diumumkan.
“Sebenarnya semuanya sudah sedia, namun kita mengambil kira pandangan daripada semua pihak sebelum membuat pengumuman rasmi,” katanya seperti dilapor Buletintv3.
Beliau ditemui pada Program Jaulah Ramadan Komuniti Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 11(1), di sini hari ini.
Beliau turut menasihati ibu bapa serta calon supaya tidak terlalu bimbang sama ada keputusan akan dikeluarkan sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Calon dan ibu bapa perlu memanfaatkan bulan Ramadan untuk tumpuan kepada ibadah serta berdoa untuk kejayaan anak-anak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




