zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: ‘Taring’ jentera serangan skuad Harimau Malaya perlu diasah setajam mungkin menjelang pertemuan dengan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, tengah malam Sabtu ini.
Ia kerana berdasarkan statistik, skuad bimbingan Park Hang-Seo itu memiliki benteng pertahanan paling kebal dalam Kumpulan G apabila hanya bolos sekali selepas enam perlawanan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut mengakui kekuatan pasukannya perlu ditambah sekiranya mahu meraih kemenangan dalam perlawanan penting itu.
“Kita tak boleh terus menyerang sahaja untuk dapatkan gol, kita juga perlu berhati-hati apabila berdepan Vietnam kerana kita tahu dari segi pertahanan mereka cukup kental. Kita kena kurangkan kesilapan individu, kita kena fokus saat kita menyerang dan waspada dengan serangan balas Vietnam.
“Memang setiap jurulatih ingin capai sesuatu apabila bertemu Vietnam yang dikatakan mempunyai pertahanan terbaik dalam kumpulan, tapi yang penting kita perlu yakin dam percaya terhadap pemain yang diturunkan,” katanya.
Vietnam berada di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul 14 mata dan mereka hanya bolos sekali ketika menewaskan Indonesia 3-1 pada Oktober 2019.
Skuad Harimau Malaya pula menghuni tangga keempat dengan sembilan mata dan meledak lapan gol selain bolos 10 kali selepas enam perlawanan.
Selain itu, Cheng Hoe berharap barisan pemainnya tidak berada dalam tekanan kerana aksi berdepan Vietnam bakal mempengaruhu perjalanan mereka dalam kempen kelayakan kali ini.
“Kita sedar yang kita perlukan keputusan positif berdepan Vietnam. Kita kena berfikir positif dan apa saja keputusan kita kena terima.
“Dari segi rekod mereka ada kelebihan, tapi setiap perlawanan berbeza dan dengan situasi cuaca berbeza kita harap dapat kekalkan dari segi corak permainan pasukan kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd