Hidup dalam masyarakat majmuk bermaksud kita menghormati perbezaan dan mencari titik persamaan.
Perbezaan bukan alasan untuk berpecah, sebaliknya perlu menjadi peluang untuk saling mengenali dan memperkukuh perpaduan.
Hidup damai bererti sama-sama menghayati dan mengamalkan prinsip universal yang positif dijadikan amalan bersama demi mencapai kesejahteraan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.”
Malaysia sebagai sebuah negara unik kerana memiliki masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.
Kepelbagaian ini adalah kekayaan tidak ternilai dan menjadi aset penting dalam membina negara harmoni dan sejahtera.
Jangan dianggap ini sebagai permasalahan kerana akan merugikan.
Namun, kehidupan dalam masyarakat majmuk juga memerlukan kebijaksanaan, toleransi dan komitmen daripada setiap warganegara supaya keamanan dan kedamaian dapat dikekalkan.
Kebijaksanaan itu perlu disandarkan kepada prinsip hormat-menghormati, saling berbuat baik dan tidak bersikap negatif dalam setiap tindakan.
Semua daripada warga perlu berusaha mencapai keamanan dan kebaikan secara bersama dibawa dasar dan perlembagaan yang termaktub untuk sebuah negara.
Toleransi asas kejayaan
Asas utama untuk hidup damai dalam masyarakat majmuk ialah toleransi.
Toleransi bermaksud kesediaan untuk menerima perbezaan, mengelak prasangka buruk dan menghormati kepercayaan orang lain.
Ia bukan bermakna kita menggadai prinsip agama atau budaya sendiri, tetapi menghargai hak orang lain untuk berpegang kepada kepercayaan mereka.
Dalam Islam, konsep ini dikenali sebagai ‘tasamuh’ yang merujuk kepada sikap lunak dan terbuka terhadap kepelbagaian.
Hormat-menghormati antara kaum dan agama dapat dilihat dalam amalan kehidupan seharian seperti menghormati hari kebesaran agama lain, menjaga sensitiviti makanan dan pakaian serta berinteraksi secara sopan dalam majlis sosial dan rasmi.
Apabila setiap individu dalam masyarakat majmuk menunjukkan penghormatan dan empati, maka suasana damai akan wujud secara semula jadi.
Hadis Nabi SAW mengajak kita melakukan kebaikan kepada semua orang.
Daripada Abu Dzar berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Bertakwalah kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada dan balaslah keburukan dengan kebaikan dan berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Selain itu, pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membina kefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat terutama dalam isu toleransi.
Sistem pendidikan perlu menanam nilai-nilai sejagat seperti kasih sayang, hormat dan tanggungjawab sosial.
Kurikulum yang seimbang dan inklusif boleh menjadi jambatan yang menyatukan generasi muda pelbagai kaum.
Aktiviti kokurikulum, program silang budaya dan lawatan sambil belajar dapat membuka minda untuk lebih menghargai keunikan budaya masing-masing.
Dalam jangka panjang, sistem pendidikan yang berteraskan nilai sejagat dan semangat kebersamaan akan melahirkan warganegara yang berjiwa besar dan bersatu hati.
Peranan media massa
Kebijaksanaan ini juga boleh dimainkan oleh media massa.
Media massa dan media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu perkauman dan agama.
Oleh itu, media perlu memainkan peranan sebagai agen perpaduan dan penyebar maklumat yang tepat dan berimbang.
Laporan yang berunsur provokasi, fitnah atau mengapi-apikan kebencian kaum hendaklah dielakkan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Selain itu, berita yang disampaikan itu mesti benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan.
Ini supaya tidak mengundang kemurkaan daripada Allah SWT dan berlaku kekacauan dalam masyarakat.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Sesungguhnya orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (Surah an-Nur, 11)
Sebaliknya, media boleh mengetengahkan kisah kejayaan kerjasama antara kaum, program komuniti yang membabitkan pelbagai etnik serta tokoh masyarakat yang menjadi jambatan antara budaya.
Masyarakat juga perlu bijak menilai maklumat yang diperoleh supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang memecah-belahkan.
Semangat gotong-royong
Hidup damai dalam masyarakat majmuk memerlukan interaksi secara langsung antara individu dan kelompok yang berbeza.
Aktiviti komuniti seperti gotong-royong, sukan, sambutan perayaan bersama dan program khidmat masyarakat boleh menjadi platform untuk mewujudkan hubungan yang akrab antara pelbagai kaum.
Apabila masyarakat saling mengenali dan bekerjasama, rasa percaya dan muhibah akan terbina.
Perpaduan tidak dapat dibentuk hanya melalui slogan atau dasar kerajaan, tetapi mesti dibina dari bawah iaitu di peringkat komuniti dan kejiranan.
Jiran yang baik tidak melihat warna kulit atau agama, tetapi sentiasa membantu dan mengambil berat sesama sendiri.
Ini nilai-nilai murni yang dapat mengekalkan keamanan dalam negara majmuk.
Islam amat menitikberatkan keadilan dalam membina hubungan sesama Islam dan bukan Islam.
Firman dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”.
Agama teras persefahaman
Dalam konteks agama berdasarkan prinsip dan ajaran semua agama di dunia mengajar penganutnya untuk hidup dalam keamanan dan menjauhi kebencian.
Dalam Islam, umat diajar untuk berlaku adil walaupun terhadap mereka yang berbeza agama.
Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa.” (Surah al-Maidah: 8)
Oleh itu, peranan institusi keagamaan sangat penting dalam mendidik penganut supaya mengamalkan ajaran agama yang sebenar dan tidak terpengaruh dengan fahaman ekstremis atau kebencian.
Kerajaan dan pemimpin masyarakat mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan keharmonian masyarakat majmuk.
Dasar yang adil, inklusif dan saksama membantu mengurangkan jurang ekonomi antara kaum dan mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Kebijaksanaan hidup damai dalam masyarakat majmuk adalah satu nikmat yang perlu dijaga dengan penuh kesedaran dan usaha bersama.
Ia bukan sesuatu yang berlaku secara automatik, tetapi memerlukan pengorbanan, toleransi dan kesungguhan daripada semua pihak sama ada individu, komuniti, pemimpin mahupun institusi.
Keharmonian yang terbina di atas asas saling menghormati, keadilan dan perpaduan akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil, maju dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Penulis Pensyarah Kanan, Universiti Selangor (UNISEL) Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah)
© New Straits Times Press (M) Bhd