Task force tangani banjir kilat

Task force tangani banjir kilat

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah menubuhkan pasukan petugas (task force) bagi menangani banjir kilat di beberapa laluan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Presidennya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pasukan ini membabitkan empat agensi dan jabatan iaitu PPj, Jabatan Bomba dan Penyelamat; Alam Flora dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sentiasa bersiap sedia bagi memastikan sistem saliran sentiasa dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, kumpulan ini akan digerakkan ke lokasi yang sering dinaiki air terutama di kawasan rendah termasuk di terowong Presint 9, Presint 11, Persiaran Timur dan terowong di Presint 5.

Katanya, tumpuan utama pasukan itu adalah membersihkan daun yang menutupi lubang saliran air di tepi jalan raya kerana ia dihanyutkan air ke dalam lubang ketika hujan lebat sehingga air tidak dapat mengalir ke longkang.

“Kebelakangan ini pasukan task force bersiap sedia dan digerakkan pada waktu petang kerana hujan lebat sering berlaku pada masa itu dan jumlahnya juga agak tinggi,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan hujan lebat pasti menjadi igauan ngeri bagi pengguna di beberapa laluan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.

Apa tidaknya, setiap kali hujan lebat, laluan itu akan dilanda banjir kilat sekali gus menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

Antara kawasan yang sering terjejas dinaiki air adalah terowong Presint 9, Presint 5 dan Lebuh Wadi Ehsan di Desa Pinggiran Putra menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dekat sini.

Fadlun berkata, pasukan ini sentiasa dalam keadaan berwaspada setiap kali hujan lebat dan membantu kawasan PBT lain sekiranya berlaku banjir kilat.

“Sebagai contoh, banjir kilat yang sering berlaku di laluan berhampiran Desa Pinggiran Putra sebenarnya di luar kawalan PPj namun pasukan ini turut digerakkan ke kawasan itu untuk membantu mengawal keadaan.

“Putrajaya tidak akan berlaku banjir kerana kawasan ini mempunyai kolam tadahan air yang besar seluas 10 hektar di Presint 14 dan semua sistem larian air di kawasan ini akan mengalir ke tasik berkenaan.

“Selain itu di kawasan luar Putrajaya terdapat Sungai Langat dan Sungai Air Hitam yang boleh menampung larian air masuk ke sungai berkenaan dari berlaku banjir,” katanya.

Fadlun berkata, dari segi perancangan sistem saliran PPj mengambil kira semua faktor tebatan banjir.

Katanya, sebanyak 500 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan ini turut membantu pusat kawalan berpusat CCTV memantau banjir kilat dan menyalurkannya kepada pasukan taskforce selain menerima maklumat daripada orang awam.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami dengar di e-mel am@hmetro.com.my

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top