Tatacara Berintegriti Penentu Kelangsungan A.I.

TANJONG MALIM, 26 Jun 2025 – Tatakelola berintegriti dan berprinsip adalah kunci kelestarian penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (A.I.) di negara ini dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Abd Shukor Mahmood berkata, meskipun A.I. berupaya meningkatkan kecekapan pentadbiran awam dan sektor swasta, teknologi itu tetap memerlukan garis panduan, kawal selia dan pemantauan yang jelas agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Dalam keghairahan kita mengadaptasi A.I., nilai tatakelola dan etika sebagai manusia yang berakal tidak boleh sekali-kali diabaikan.

“A.I. mesti ditadbir urus secara sistematik berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan kesaksamaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Tatakelola Kebangsaan 2025 (STAKE’25) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.

Seminar bertemakan ‘Kelestarian Tatakelola dalam Era Revolusi Kecerdasan Buatan (A.I.)’ itu menghimpunkan kira-kira 177 peserta dari 66 agensi dari wakil swasta dan awam antaranya Jabatan Perdana Menteri, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Simpanan Nasional.

Abd Shukor turut menegaskan tiga tonggak utama perlu menjadi asas tatakelola A.I. negara, iaitu tadbir urus data, kawalan algoritma, dan penyelarasan nilai manusia-A.I. bagi memastikan teknologi itu kekal selamat dan bermanfaat.

“Tanpa tatakelola yang betul, A.I. berisiko disalahguna hingga mengancam keselamatan data, privasi, serta nilai dan hak asasi manusia. Malah, ia boleh meruntuhkan keharmonian sesebuah negara.

Menyentuh Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, beliau berkata Malaysia kini berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara dengan skor 50 mata – sama seperti tahun sebelumnya.

Beliau menekankan perlunya peningkatan kepada skor 68 hingga 70 mata menjelang tahun 2033 seperti disasarkan kerajaan, dan menyifatkan penggunaan teknologi A.I. sebagai antara pendekatan penting membanteras amalan rasuah.

“A.I. boleh menganalisis data kewangan berskala besar, mengenal pasti anomali atau pola penyimpangan, dan mengaktifkan sistem amaran awal terhadap potensi salah guna kuasa sebelum kerugian besar berlaku.

Menurut beliau lagi, A.I. bukan semata-mata alat peningkatan kecekapan, tetapi mestilah berpaksikan nilai kemanusiaan dan prinsip hak asasi sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Kita tidak boleh membiarkan A.I. mendahului prinsip yang kita bina, kelak bimbang kita menjadi hamba kepada yang tak berupa,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata penekanan terhadap tatakelola bukanlah isu baharu, malah selari dengan amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 12 Ogos 2024 yang menyatakan bahawa penjawat awam adalah benteng negara dan tatakelola harus menjadi agenda penting dalam pentadbiran.

Tambah beliau, dalam era A.I., cabaran baharu muncul dalam landskap pendidikan dan pentadbiran, justeru UPSI komited menyahut seruan kerajaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 16) yang menekankan keperluan membangunkan institusi yang efektif dan bertanggungjawab.

“Sepanjang tahun 2024, UPSI telah menganjurkan lebih 30 program berkaitan pengukuhan tadbir urus dan integriti melibatkan institusi awam, swasta serta masyarakat umum.

Menurut beliau, seminar ini bertujuan meneroka impak A.I. terhadap proses pengurusan dalam organisasi awam, mengenal pasti risiko dan mencari pendekatan praktikal dalam menangani cabaran berkaitan.

“Tatakelola yang berintegriti dan bertanggungjawab bukan sahaja membina kepercayaan masyarakat, tetapi menjadi asas kepada kelestarian pembangunan negara,” katanya.

Hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed;  Penasihat Undang-Undang UPSI, Salwati Mohd Aris; Pengarah, Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja UPSI, Prof Dr. Haniza Hanim Mohd Zin; Ketua Unit Integriti UPSI, Ilmizan Ismail

 

Oleh: BAZLI BIN ABDUL RAZAK
Pegawai Unit Media,
Bahagian Komunikasi Korporat,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Email: bazli.razak@upsi.edu.my

Scroll to Top