Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan ekonomi yang positif yang dicatatkan kebelakangan ini adalah hasil tatakelola yang semakin baik bersama dengan penggubalan dasar yang jelas terutama dalam sektor perindustrian, transformasi digital, tenaga dan semikonduktor.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di X, hari ini berkata, Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasi itu.
Beliau percaya bahawa dengan semangat melaksanakan perubahan sedaya upaya dan keikhlasan berkhidmat dari hati nurani yang bersih, Malaysia berpotensi menjadi antara negara hebat di dunia.
“Ketika ini, semakin ramai rakyat yang menerima hakikat bahawa Malaysia memerlukan anjakan serta perubahan yang lebih rancak dan bermakna untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara atau berisiko kembali kepada keadaan ekonomi yang muram dan lembap.
“Saya tegaskan bahawa penting untuk memanfaatkan kestabilan politik di Malaysia yang kita kecapi saat ini untuk memperbaiki tatakelola dan menjulang amalan pengurusan beramanah dan bertanggungjawab dengan matlamat mengangkat martabat, darjat dan harkat negara,” katanya.
Beliau dan delegasi Malaysia yang kini berada di Vientiane, Laos sempena Sidang Kemuncak Asean ke-44 dan ke-45.
© New Straits Times Press (M) Bhd




