Tatu sekadar sejarah, bukan untuk dibanggakan – Adam Corrie 

Tatu sekadar sejarah, bukan untuk dibanggakan – Adam Corrie 

PETALING JAYA: Pelakon, Adam Corrie Lee Abdullah mengakui pernah gemar mencacah tatu pada tubuhnya sebelum kembali kepada Islam.

Menurutnya, minat terhadap tatu pada ketika itu bukan didorong tekanan hidup atau keinginan melarikan diri daripada masalah, sebaliknya lahir daripada kecenderungan terhadap nilai estetika seni berkenaan.

“Dulu sebelum saya kembali kepada Islam, saya buat tatu bukan sebab tekanan atau nak lari daripada masalah, tetapi sebab saya suka.

“Bermula dengan yang kecil, nampak cantik dan menarik. Selepas satu, saya tambah lagi sehingga sampai satu tahap rasa tidak cukup. Kalau boleh, memang mahu penuh satu badan,” katanya menerusi aplikasi Threads.

Bagaimanapun, beliau berkata, keinginan tersebut akhirnya terhenti atas kesedaran sendiri sebelum hatinya mula terbuka untuk mendekati Islam beberapa tahun kemudian.

“Tiada siapa yang melarang saya berhenti. Hati sendiri rasa sudah cukup. Beberapa tahun kemudian, saya kembali kepada fitrah dan mengenali Islam.

“Selepas mula memahami dan mendalami agama, saya sedar apa yang dahulu dianggap ‘cantik’ sebenarnya bukan jalan yang diredhai-Nya,” ujarnya.

Kini, selepas bertahun-tahun bergelar mualaf, Adam Corrie Lee Abdullah menegaskan tatu pada tubuhnya hanyalah sejarah silam yang tidak wajar dibanggakan.

Katanya, fokus utama kini adalah untuk memperkukuh akidah serta memperbaiki keperibadian sebagai seorang Muslim.

“Tatu itu hanyalah sejarah, bukan untuk dibanggakan dan bukan untuk diulang. Yang perlu dijaga sekarang ialah akidah, manakala yang perlu diperbaiki ialah diri.

“Paling penting ialah usaha untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik setiap hari. Hidayah itu milik Allah dan apabila Dia memanggil, tiada siapa yang mampu menghalang,” katanya.

Terdahulu, media sosial kecoh apabila seorang pempengaruh bertindak mencacah tatu pada lengan kirinya selepas berdepan dugaan besar dalam hidup, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. -UTUSAN

Scroll to Top