Taufan Milton: 10 maut di Florida

Taufan Milton: 10 maut di Florida

New York: Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas Taufan Milton menyebabkan tornado atau puting beliung melanda pantai barat-tengah Florida, dan banjir di kawasan berhampiran Teluk Tampa, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Taufan Milton merentasi negeri itu lewat Rabu sebelum ‘mengganas’ ke Lautan Atlantik. Di beberapa kawasan, jalan raya terhalang oleh pokok dan tiang talian elektrik yang tumbang.

Kejadian turut menyebabkan kira-kira tiga juta rumah dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik.

“Ia agak menakutkan,” kata Susan Stepp, 70, penduduk di Fort Pierce iaitu sebuah bandar di pantai timur Florida.

Di bandar itu, empat orang dalam komuniti warga emas maut selepas puting beliung yang dicetuskan oleh Taufan Milton melanda pada Rabu.

“Mereka menemukan beberapa orang di luar yang ditemukan mati tersangkut di atas pokok,” katanya kepada AFP.

“Menakutkan dan menyayat hati pada masa yang sama, melihat banyak kerosakan dan semua perkara yang anda benar-benar suka hilang begitu sahaja,” kata Bill, 72, suami Stepp.

Kematian direkodkan termasuk lima di St Lucie County, tiga di Volusia County dan dua di bandar St Petersburg, kata pihak berkuasa tempatan.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro Mayorkas memberitahu pemberita bahawa kematian itu “disebabkan oleh puting beliung.”

Taufan Milton yang melanda Pantai Teluk Florida dikategorikan sebagai ribut Kategori 3. Ia selepas Taufan Helene pada dua minggu lalu yang membunuh 237 orang di Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan 126 amaran puting beliung di seluruh negeri pada Rabu, “yang paling banyak dikeluarkan untuk satu hari kalendar negeri dalam rekod sejak 1986,” tulis pakar taufan, Michael Lowry.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top