Taufan terkuat badai Shanghai dalam tempoh 70 tahun

Taufan terkuat badai Shanghai dalam tempoh 70 tahun

Shanghai: Taufan Bebinca, ribut terkuat melanda Shanghai dalam tempoh lebih 70 tahun, membadai bandar itu hari ini, dengan membawa angin kencang dan hujan lebat.

Pentadbiran Meteorologi China mengesahkan, taufan itu mendarat awal pagi Isnin di kawasan pantai Lingang New City, di Pudong, timur bandar itu.

Penyiar CCTV melaporkan, taufan itu ribut paling kuat melanda Shanghai sejak Taufan Gloria pada 1949.

Banyak perniagaan ditutup untuk cuti umum Festival Pertengahan Musim Luruh dengan 25 juta penduduk di bandar itu dinasihatkan duduk dalam rumah masing-masing.

Pihak berkuasa bandar mengeluarkan amaran tahap merah dengan 9,000 ribu penduduk dipindahkan dari Chongming, pulau di muara Sungai Yangtze.

Semua penerbangan di dua lapangan terbang utama di Shanghai, ditangguhkan, dan perkhidmatan feri serta beberapa kereta api, digantung sementara.

Lebuh raya ditutup pada 1 pagi waktu tempatan dan had laju 40 kilometer sejam ditetapkan di jalan raya.

Pada waktu puncak, video langsung menunjukkan, jalan raya Shanghai yang biasanya sesak hampir kosong daripada lalu lintas dan langitnya diliputi dengan kabus tebal.

Rakaman dari Daerah Baoshan utara menunjukkan, angin menumbangkan barisan pokok di tebing sungai.

Ibu pejabat kawalan banjir Shanghai memberitahu CCTV, mereka menerima puluhan laporan insiden berkaitan taufan itu, kebanyakannya membabitkan pokok dan papan iklan tumbang.

CCTV menyiarkan, rakaman seorang wartawan di tepi pantai dengan ombak tinggi di wilayah Zhejiang.

“Jika saya melangkah ke (ribut), saya hampir tidak boleh bercakap.

“Anda boleh melihat, permukaan laut hanyalah gelombang demi gelombang, setiap satu lebih tinggi daripada yang terakhir,” katanya.

Taufan Bebinca juga melalui Jepun dan tengah dan selatan Filipina, di mana pokok tumbang mengorbankan enam orang.

CCTV berkata, Bebinca dijangka bergerak ke barat laut, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang di wilayah Jiangsu, Zhejiang dan Anhui.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top