Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi pusat tamadun dan pembinaan masyarakat Islam. Dalam sejarah Islam, masjid adalah institusi utama dalam mencorak hala tuju umat bermula dari zaman Rasulullah SAW yang menjadikan Masjid Nabawi di Madinah sebagai pusat dakwah, pentadbiran, pengajian dan kebajikan. Semua mengetahui bahawa di Malaysia, fungsi ini diteruskan melalui ribuan masjid dan surau yang berperanan besar dalam mencorak akhlak masyarakat. Namun, keberkesanan masjid bergantung kepada pengurusan yang cekap serta pengisian yang sah, tersusun dan bertauliah. Maka timbul isu penting berkaitan pengurusan masjid dan kewajipan tauliah dalam memastikan kesatuan, keselamatan akidah dan keharmonian ummah. Isu ini seringkali diperdebatkan dan ada kalanya hangat diperkatakan oleh masyarakat.
Oleh yang demikian pengurusan masjid ini perlulah ditadbir secara profesional, amanah dan tersusun bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Jawatankuasa masjid yang dilantik perlu memiliki kefahaman terhadap matlamat masjid sebagai pusat komuniti. Antara aspek penting pengurusan masjid termasuk kebersihan, kewangan, program pendidikan, kebajikan dan hubungan dengan masyarakat.
Tanpa pengurusan yang efisien, masjid akan kehilangan fungsi sebenar dan hanya menjadi bangunan yang sunyi dari aktiviti yang membina jiwa.
Islam sangat menekankan prinsip amanah dalam pentadbiran. Firman Allah SWT bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya…” (Surah an-Nisa’: 58)
Ayat ini menuntut agar jawatan dalam masjid termasuk pengurusan dan penceramah, dipegang oleh mereka yang berkelayakan dan bertanggungjawab. Pengurusan masjid bukan medan mencari pengaruh atau kepentingan peribadi, sebaliknya medan menabur bakti dan menegakkan agama.
Masjid dalam sejarahnya adalah berperanan sebagai pusat pembangunan spiritual, intelektual dan sosial. Pengajian agama, kuliah tafsir, forum, kelas fardu ain dan aktiviti sosial seperti agihan makanan dan bantuan kepada asnaf sangat penting untuk mengukuhkan kesejahteraan masyarakat.
Namun, jika masjid tidak dikawal dan diurus dengan baik, ia boleh menjadi tempat penyebaran ideologi ekstrem, ajaran sesat atau perpecahan dalam aspek politik. Inilah sebabnya pihak berkuasa agama memperkenalkan mekanisme tauliah kepada penceramah, ustaz dan guru agama bukan menyekat para asatizah dalam menyampaikan ilmu.
Kepentingan tauliah
Tauliah ialah kebenaran rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri kepada individu yang ingin mengajar atau berceramah di masjid, surau dan tempat awam. Ia bukan sekadar formaliti, tetapi satu bentuk kawalan untuk memastikan hanya individu yang berilmu, berakhlak dan bebas daripada fahaman sesat diberi ruang untuk menyampaikan ilmu.
Dalam konteks Malaysia, pentadbiran hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tauliah perlu diperoleh daripada jabatan agama Islam negeri masing-masing. Ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya…” (Riwayat Muslim)
Namun, bayangkan jika orang yang tidak bertauliah atau tidak cukup ilmu menyampaikan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Ini bukan sahaja menyesatkan orang ramai, tetapi mencemar imej Islam dan mencetuskan perpecahan. Oleh itu, tauliah bukan bertujuan menyekat dakwah, tetapi untuk menjaganya daripada disalahgunakan.
Walaupun matlamat tauliah adalah baik, namun timbul beberapa cabaran dan kekeliruan. Ada yang menyangka sistem tauliah sebagai bentuk birokrasi yang menyusahkan masyarakat. Ada pula yang menyalahgunakan media sosial untuk menyampaikan ajaran tanpa pengawasan.
Sesetengah individu mendakwa bahawa mereka memiliki kelayakan dari luar negara atau pengalaman bertahun-tahun, maka mereka tidak perlu tauliah. Namun, kelayakan peribadi tidak mengatasi keperluan kepada peraturan tempatan. Semua masyarakat harus tahu bahawa Konsep ulil amri dalam Islam memberi kuasa kepada pemerintah untuk meletakkan syarat dan garis panduan dalam pentadbiran agama.
Tauliah dan kepatuhan kepada ulil amri
Kepatuhan kepada pemerintah dalam hal yang tidak bercanggah dengan syarak adalah wajib. Dalam soal tauliah, para ulama sepakat bahawa ia adalah termasuk dalam siyasah syar’iyyah, iaitu urusan pentadbiran yang bertujuan menjaga maslahah ummah.
Sabda Nabi SAW maksudnya: “Dengarlah dan taatlah kepada pemerintah kamu, walaupun dia seorang hamba Habsyi…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, menghormati sistem tauliah bermakna menghormati tertib dan struktur keagamaan negara. Sesiapa yang ingkar atau cuba mengajar tanpa tauliah berisiko disabitkan kesalahan di bawah enakmen negeri, selain menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Walaupun tauliah penting, kita juga harus sentiasa terbuka dari aspek pelaksanaannya di mana perlu sentiasa diperbaiki agar lebih inklusif dan efisien.
Antara cadangan:
1. Proses tauliah dipermudahkan. Kurangkan birokrasi dan berikan penerangan jelas tentang keperluan, syarat dan tempoh kelulusan.
⦁2. Penyelarasan antara neegri. Perlu ada pengiktirafan silang antara tauliah negeri bagi memudahkan penceramah bergerak antara negeri tanpa mengulangi proses permohonan.
3. Latihan dan pemantapan ilmu. Pihak berkuasa perlu menyediakan kursus berkala kepada pemegang tauliah bagi memastikan mereka kekal relevan dan beretika dalam penyampaian.
4. Pengawasan digital. Dakwah melalui media sosial juga perlu dipantau dan dipandu oleh garis panduan rasmi supaya tidak disalahgunakan.
Pengurusan masjid dan isu tauliah adalah dua aspek penting yang saling berkaitan dalam memastikan masjid berfungsi sebagai pusat kebaikan, bukan kekeliruan. Masjid yang diurus dengan baik, diisi oleh ilmuwan yang sah, akan melahirkan masyarakat yang berilmu, bersatu dan bertakwa. Manakala, kegagalan mengawal siapa yang menyampaikan ajaran agama boleh menjerumuskan umat ke arah kekeliruan dan perpecahan. Inilah kebimbangan dan keprihatinan mengapa tauliah ini perlu dan sangat penting.
Oleh itu, semua pihak pengurus masjid, pendakwah, ahli jawatankuasa, dan masyarakat perlu menyokong usaha memperkukuh pengurusan masjid dan menghormati sistem tauliah demi kesejahteraan dan keselamatan akidah umat Islam di negara ini.
Masjid adalah milik Allah dan menjaga kesuciannya adalah tanggungjawab bersama. Tauliah bukan mengongkong tetapi membendung segala bentuk kekeliruan dan kesesatan yang merosakkan umat.
Penulis Pensyarah Kanan Universiti Selangor, Timbalan Presiden Wadah
© New Straits Times Press (M) Bhd