Tawar kedamaian? Trump tidak layak menerimanya – Penyelidik Sejarah

Tawar kedamaian? Trump tidak layak menerimanya – Penyelidik Sejarah

Washington: Keinginan untuk meraih pengiktirafan antarabangsa, persaingan sedekad dengan Barack Obama dan mungkin sedikit unsur provokatif – semua ini menjadi faktor kepada obsesi Donald Trump terhadap Hadiah Keamanan Nobel.

“Sudah tiba masanya Presiden Trump dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel,” kata setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada pemberita pada 31 Julai lalu, sekali gus mencetuskan reaksi tidak percaya dan sindiran daripada penentang pemimpin Republikan itu.

Sejak kembali memegang kuasa pada 20 Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu “menjadi perantara kepada sekurang-kurangnya satu perjanjian damai atau gencatan senjata setiap bulan,” ujar Leavitt sambil memetik contoh pengantaraannya antara India dan Pakistan; Kemboja dan Thailand; Mesir dan Ethiopia; Rwanda dan Republik Demokratik Congo (DRC); serta Serbia dan Kosovo.

Jurucakap utamanya itu turut menyebut Iran apabila Trump mengarahkan serangan AS terhadap kemudahan nuklear republik Islam itu, sebagai bukti keputusan yang didakwa Leavitt menyumbang kepada keamanan dunia.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut mengenai konflik di Ukraine, yang berulang kali dijanjikan Trump untuk ditamatkan pada hari pertama penggalnya, atau perang di Gaza, yang terus berlanjutan dan menyaksikan AS membekalkan senjata kepada Israel.

Bagi sesetengah pemimpin asing, menyebut anugerah berprestij itu menjadi isyarat muhibah diplomatik terhadap seorang Presiden yang membayangkan dirinya sebagai pengaman.

Pakistan mencalonkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel, begitu juga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Ketika pertemuan pada awal Julai di Rumah Putih, seorang wartawan bertanya kepada presiden Liberia, Senegal, Mauritania, Guinea-Bissau dan Gabon sama ada Trump layak menerima anugerah itu.

Sambil tersenyum mendengar respons positif daripada pemimpin-pemimpin Afrika itu, Trump berkata: “Kita boleh buat begini sepanjang hari.”

Puluhan ribu orang boleh mengemukakan pencalonan kepada jawatankuasa Nobel, termasuk penggubal undang-undang, menteri, profesor universiti tertentu, bekas pemenang dan ahli jawatankuasa itu sendiri.

Pencalonan perlu dikemukakan sebelum 31 Januari, dengan pengumuman dibuat pada Oktober – tahun ini pada 10 hari bulan.

Profesor undang-undang, Anat Alon-Beck, seorang warga Israel-Amerika, menyerahkan nama Trump kepada lima ahli jawatankuasa itu, yang dilantik oleh Parlimen Norway.

Penolong profesor di Case Western Reserve University School of Law itu memberitahu AFP beliau berbuat demikian kerana kepimpinan luar biasa dan kebijaksanaan strategik yang ditunjukkan oleh Trump, pada pandangannya, dalam memajukan keamanan dan memastikan pembebasan tebusan yang ditahan di Semenanjung Gaza.

Bagi sesetengah pihak, prospek menyerahkan hadiah itu kepada seseorang yang mengucar-ngacirkan order antarabangsa adalah tidak dapat dipertahankan.

“Mencalonkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel adalah seperti memasukkan seekor dubuk dalam sebuah pertunjukan anjing,” tulis penyelidik sejarah dan politik AS, Emma Shortis di laman berita The Conversation.

“Sudah tentu Trump tidak layak menerimanya.”

Presiden Amerika itu bagaimanapun tidak bersetuju.

“Saya layak menerimanya, tetapi mereka tidak akan memberikannya kepada saya,” kata Trump kepada wartawan pada Februari semasa menjadi tuan rumah kepada Netanyahu di Rumah Putih, sambil mengeluh kerana tidak mencapai impian Nobel dalam hidupnya.

“Tidak, saya tidak akan mendapat Hadiah Keamanan Nobel walau apa pun yang saya lakukan, termasuk Russia/Ukraine, dan Israel/Iran, walau apa pun keputusannya,” rungut Trump di platform Truth Social miliknya pada Jun.

“Tetapi rakyat tahu, dan itu sahaja yang penting bagi saya!”

Trump terkenal sebagai seorang yang sangat gemarkan pujian dan anugerah, kata Garret Martin, seorang profesor hubungan antarabangsa di American University kepada AFP, “jadi beliau sudah tentu mengalu-alukan pengiktirafan besar antarabangsa ini.”

“Dan sejak permulaan cita-cita presidennya 10 tahun lalu, beliau telah meletakkan dirinya sebagai penentang kepada Barack Obama, yang terkenal memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2009,” tambah Martin.

Anugerah yang diberikan kepada bekas presiden Demokrat itu, hanya sembilan bulan selepas beliau memegang jawatan, mencetuskan perdebatan hangat dan berterusan sehingga kini.

“Jika nama saya Obama, saya akan diberikan Hadiah Nobel dalam 10 saat,” keluh Trump pada Oktober 2024, semasa peringkat akhir kempen presiden.

Tiga lagi presiden AS turut pernah diberi penghormatan itu ialah Theodore Roosevelt, Woodrow Wilson dan Jimmy Carter.

Anugerah itu juga diberikan kepada Henry Kissinger pada 1973 atas usahanya membantu menamatkan perang di Vietnam. Pemilihan bekas setiausaha negara AS itu menerima kritikan hebat.

Senarai penuh calon Hadiah Keamanan Nobel adalah rahsia – kecuali pengumuman individu oleh pencadang – tetapi jumlahnya didedahkan kepada umum. Pada 2025, terdapat 338 calon.

Beberapa laman pertaruhan meletakkan Trump di tempat kedua untuk menang, di belakang Yulia Navalnaya, balu kepada pemimpin pembangkang Russia, Alexei Navalny.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top