Tawar lebih 20,000 kekosongan jawatan, PERKESO anjurkan forum ‘online’ percuma!

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Setelah 2 tahun hidup dengan Covid-19, pasti ramai yang sudah mula menerima perubahan norma baharu dalam kehidupan kita.

Tapi akibat pandemik ini pasti ramai majikan serta individu yang terpaksa menanggung kesannya kerana ketidakstabilan ekonomi ekoran Covid-19.

Jadi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengambil inisiatif untuk menganjurkan International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) secara percuma.

Tujuan forum ini diadakan adalah untuk membantu orang ramai khususnya golongan pekerja serta majikan untuk memulakan kehidupan yang baharu, pasca Covid-19.

Bagi memenuhi SOP, PERKESO akan menganjurkan semua program ini secara online, dan terdapat 3 program menarik yang akan dijalankan serentak serta boleh disertai bermula 6 hingga 9 September.

Program tersebut akan dimulakan dengan SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 pada 6 dan 7 September.

International Public Employment Services Symposium pula akan berlangsung pada 7 dan 8 September dan program yang sentiasa menjadi perhatian ramai iaitu Ekspo Kerjaya MYFutureJobs bakal dijalankan selama tiga hari dari 7 hingga 9 September.

Dua forum tersebut akan disertai oleh ramai speaker yang terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira (Dr.) Hj Ameer Ali Mydin, Legenda Bola Sepak Negara, Datuk Santokh Singh serta Presiden dan Pengasas Youth Care Malaysia, Jabir Meftah.

Sebagai perkongsian awal, Datuk Wira (Dr.) Hj Ameer Ali Mydin sempat menitipkan sedikit pesan kepada mana-mana pihak yang ingin mula berniaga lebih-lebih ketika waktu sukar seperti kini.

“Tidak mudah untuk berniaga pasti ada jatuh dan bangun, susah dan senang. Saya akan berkongsi pengalaman berniaga selama 40 tahun khususnya bagaimana untuk menghadapi saat sukar ekoran pandemik bersama peserta.”

Menurut speaker Datuk Santokh Singh, di forum ini beliau akan berkongsi mengenai kepentingan disiplin, dedikasi serta kesungguhan yang perlu dalam diri setiap individu untuk terus berjaya.

“Bagaimana sikap disiplin, keazaman dan dedikasi dapat menyumbang sesuatu kejayaan seperti pasukan bola sepak kebangsaan yang layak ke Piala Dunia 1973. Semangat juang yang tinggi, kerjasama dan sentiasa bersama dalam apa keadaan menjadi resepi kejayaan. Saya akan berkongsi dengan peserta pengalaman yang menarik ini.”

Manakala panel termuda program ini, Jabir Meftah akan berkongsi mengenai perjalanannya sebagai seorang pelajar, pelakon dan akhirnya berjaya menjadi pengasas sebuah organisasi pada usia yang muda.

“Penglibatan dalam NGO dapat membentuk diri individu dari segi kemahiran sahsiah. Kemahiran ini sentiasa menjadi titik tambah untuk majikan dalam pemilihan pekerja”

Untuk makluman, program ini turut menampilkan  panel-panel kehormat dari sektor awam dan swasta antaranya Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Dato’ Sri Idris Jala; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Helmi Othman Basha;  Legenda Bola Sepak Negara,  Dato’ Soh Chin Aun dan Datuk James Wong; serta Pelakon, Pelawak dan Penyampai TV, Douglas Lim dan ramai lagi.

Sudah tentu masing-masing akan berkongsi mengenai  pengalaman dan kemahiran yang mampu membantu seseorang untuk memulakan usaha dengan bijak mengikut keadaan semasa.

Menurut selebriti yang terkenal dengan  video-video menarik di media sosial, Douglas Lim, kreativiti dalam kandungan video mampu membantu seseorang mempromosikan produk terutama menerusi kandungan bahan jenaka.

Tak perlu untuk membayar ribuan ringgit kepada aplikasi media sosial ‘menjual’ produk kita, cukup dengan kebijaksanaan menggunapakai keadaan sekeliling.

“Impak kandungan video berunsurkan jenaka adalah sangat bagus dan membolehkan mereka mendapatkan lebih banyak ‘views’ sekali gus membantu mempromosikan produk.”
“Ramai yang melihat ia sebagai satu perkara sukar untuk dilakukan dan sanggup membayar beberapa pihak untuk membantu mereka, tetapi tahukah anda, pelbagai cara boleh dilakukan tanpa perlu membayar lebih,” 

Jadi, mengapa kita hendak melepaskan peluang besar ini lagi. Pihak PERKESO sendiri menyeru orang ramai  termasuklah golongan profesional, ahli akademik, para majikan, pencari kerja, graduan dan lepasan sekolah untuk sama-sama menyertai IPEF 2021.

Untuk mengetahui info berkenaan IPEF 2021  anda semua boleh layari laman web www.perkeso.gov.my/ipef atau terus hubungi nombor Careline PERKESO di 1300-22-8000 atau emel ke  [email protected]