Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bakal menjadi tumpuan rakyat Malaysia dari 17 hingga 20 Julai ini sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 yang menawarkan lebih 35 aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat.
Sambutan Minggu Perpaduan tawar lebih 35 aktiviti menarik
Difahamkan, acara anjuran Kementerian Perpaduan Negara ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Julai (Sabtu) jam 10.30 pagi.
Bertemakan “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, program ini bertujuan merapatkan jurang perbezaan dan memupuk semangat kebersamaan rakyat pelbagai kaum.
Lebih 35 aktiviti menarik termasuk pameran, aktiviti sukan, jualan dan banyak lagi
Antara aktiviti yang akan memeriahkan sambutan termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, pameran Malaysia Tanah Airku, Susur Masa, jualan MADANI, pesta durian, Food Unites, serta jualan produk usahawan tempatan.
Turut diadakan ialah Larian Uniti, sukan tradisional, e-sukan, pertandingan boria terbuka, peragaan busana tradisional, pertandingan tarian etnik sekolah rendah, Pesta Buku Pulau Pinang, Kembara Ilmu dan Wayang Pacak.
Boleh nikmati diskaun bayaran saman dan kompaun
Menambah nilai kepada acara ini, rakyat boleh menikmati diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang) MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Pameran agensi kerajaan serta aset keselamatan turut dijadualkan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai.
Artikel lain: Menara KL disinari cahaya biru sempena Minggu Perpaduan Kebangsaan 2025
Bagi acarak kemuncak pula, para pengunjung akan dimeriahkan oleh persembahan artis ternama seperti Dato’ Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Shila Zikir, Black Hanifah, Suki Low, Hijjaz dan Inteam.
Kanak-kanak juga boleh menonton persembahan istimewa Muzikal Didi & Friends, selain program pencarian bakat seperti Bintang Idol Perpaduan dan Battle of the Band.
Sambutan ini diharap menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia dan bukti bahawa keharmonian boleh diraikan dengan penuh semangat dan kebanggaan.