am@hmetro.com.my
Putrajaya: Pengendali perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride, menyasarkan 1,000 kenderaan elektrik (EV) bakal disediakan secara sewa beli kepada pemandu bermula tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, ia sebagai usaha dalam memperkukuh kelestarian dan menjamin kebajikan pemandu bagi jangka masa panjang.
Menurutnya, projek itu sebelum ini dijadual bermula pada awal 2025 namun tertangguh ekoran kelewatan penghantaran dari pihak pengilang di China.
“Bulan depan kita akan terima penghantaran kenderaan pertama untuk dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Dijangkakan pada Oktober atau November tahun ini program itu akan dimulakan selepas mendapat pengesahan JPJ,” katanya pada Majlis Penyerahan Hadiah Program Kayuh & Menang GV Ride, di Kajang semalam.
Pada program itu, pemandu wanita, Chan Li Yin, 30, diumumkan sebagai pemenang utama Program Kayuh & Menang GV Ride 2025 dan menerima hadiah kereta Perodua Bezza 1.3X bernilai kira-kira RM48,000.
Pada majlis itu beliau menerima replika kunci diserahkan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Kabeer berkata, program ini bertujuan membantu pemandu e-hailing sepenuh masa beralih kepada EV dengan kaedah pemilikan mampu milik tanpa memerlukan bayaran pendahuluan yang tinggi.
Beliau menjangka untuk mulakan projek dengan 1,000 EV dan pemandu hanya perlu mengeluarkan deposit RM1,000 manakala kos kenderaan dibayar secara harian.
“Keutamaan diberikan kepada pemandu sepenuh masa kerana komitmen penggunaan yang lebih tinggi dan mampan untuk menampung kos pembayaran kenderaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd