suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tayar terpakai yang tidak menepati piawaian boleh menjadi ‘bom jangka’ di jalan raya, apabila kegagalan fungsi komponen penting itu berisiko mencetuskan kemalangan maut.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, bunga tayar haus atau tidak seragam boleh mengurangkan cengkaman, memerlukan jarak berhenti lebih panjang dan meningkatkan risiko tayar meletup terutama ketika cuaca panas, jalan basah atau permukaan tidak menentu.
“Penggunaan tayar yang tidak baik dan seimbang atau tekanan angin yang tidak betul boleh menyebabkan komponen suspensi kenderaan rosak dan menjejaskan pengendalian keseluruhan, terutama dalam situasi kecemasan.
“Kesimpulannya, tayar terpakai yang tidak diperiksa dengan teliti atau melalui proses torehan semula mungkin tidak lagi memenuhi standard keselamatan sekali gus menjadi ‘bom jangka’ yang meningkatkan risiko kemalangan maut,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, antara tanda tayar terpakai yang tidak sesuai digunakan ialah kehausan bunga tapak kurang 1.6 milimeter (mm), rekahan atau bengkak pada sisi, tapak tidak sekata, koyakan, atau sudah terlalu tua melebihi lima tahun.
Katanya, pengguna sendiri perlu periksa ketebalan bunga tapak, tiada rekahan atau bengkak, serta tayar masih dalam jangka hayat sebelum digunakan.
“Tayar terpakai dijual meluas kerana harganya murah, biasanya separuh harga daripada tayar baharu.
“Alasannya mudah saja, iaitu murah. Tayar baharu saiz 14 inci berharga sekitar RM140, sedangkan tayar terpakai hanya RM40 hingga RM70,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, penjualan tayar terpakai di Malaysia tidak dipantau secara ketat berbanding negara lain.
“Sebenarnya tiada pihak yang memantau kualiti tayar terpakai di Malaysia. Pembeli sendiri yang menentukannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamil berkata, dari sudut teknikal, tayar baharu mempunyai prestasi optimum dan jaminan kualiti, manakala tayar terpakai menurun prestasinya kerana kehausan serta kerosakan struktur yang tidak kelihatan.
Beliau berkata, statistik pada 2019 menunjukkan lebih 10,000 kes kemalangan berpunca daripada tayar celup, bersamaan purata 30 kemalangan sehari.
“Cuma secara umumnya, PPKJR menasihatkan pengguna menggantikan tayar lama atau rosak dengan tayar baharu.
“Jika kekal memilih tayar terpakai, pengguna perlu faham risiko kerana negara kita tiada standard khas untuk tayar terpakai,” katanya.
Menurutnya lagi, dari segi undang-undang, penjual tayar terpakai tidak menepati piawaian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pemantauan perlu diperkasakan termasuk melalui Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memastikan tayar terpakai yang dijual benar-benar selamat.
“Walau bagaimanapun, pengguna juga mesti mengambil langkah sendiri memastikan tayar terpakai yang dibeli masih dalam keadaan baik dan tidak melebihi jangka hayat,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penyeludupan tayar menerusi serbuan Ops Grip di 23 lokasi berasingan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Difahamkan, rampasan turut membabitkan tayar terpakai yang tidak menepati piawaian dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan pengguna dan hanya menunggu masa berlalu kecelakaan ibarat ‘bom jangka’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




