Taylor buat penyokong Chelsea marah

LONDON: Penyokong Chelsea menyelar tindakan Anthony Taylor yang menyemak Video Bantuan Pengadil (VAR) dengan pantas sebelum melayangkan kad merah kepada Reece James pada aksi menentang Liverpool di Anfield, malam tadi.

Justeru, penyokong Chelsea melancarkan dua petisyen di media sosial dengan mendesak supaya pengadil itu dihalang mengadili aksi The Blues selepas ini dan ia mendapat sambutan apabila 40,000 penyokong sudah menandatangani petisyen berkenaan.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel itu mendahului Liverpool 1-0 hasil jaringan Kai Havertz, namun percubaan Sadio Mane terkena James yang berada di atas garisan gol – bola melantun ke pehanya sebelum menyentuh tangan kanannya dengan James dilihat cuba menolak bola itu keluar.

Pada mulanya perlawanan diteruskan namun Taylor melihat monitor di tepi padang hanya beberapa saat dan ia menimbulkan kemarahan pemain selepas Mo Salah menyempurnakan penalti dengan Tuchel turut mempersoalkan tindakan Taylor yang menyemak VAR dengan begitu pantas.

Satu petisyen itu menuntut Taylor tidak lagi mengadili perlawanan Chelsea kerana ‘sering berat sebelah’ dan penyingkirannya daripada mengadili perlawanan membabitkan pasukan itu adalah untuk keselamatan dirinya manakala satu petisyen menyatakan kesihatan mental penyokong Chelsea terjejas kerana pengadilan Taylor.

Ketika ramai yang menyifatkan keputusan Taylor itu tepat kerana melayangkan kad merah kepada James dan memberikan penalti kerana menghalang peluang yang jelas gol, itu tidak menyekat penyokong Chelsea daripada melontarkan kemarahan mereka.

Graham Clark menciap ‘dia tidak layak sekalipun untuk mengadili liga amatur’ sementara Ananthan Thenaliparambil menulis ‘Anthony Taylor ada agenda terhadap Chelsea. Sangat memalukan. Dia seharusnya tidak lagi mengadili perlawanan Chelsea.’

Thenaliparambil turut menyenaraikan beberapa kesilapan yang dilakukan Taylor ketika mengadili perlawanan Chelsea sebelum ini termasuklah ketika bola terkena tangan Alexis Sanchez pada final Piala FA 2017 dan Mateo Kovacic dilayangkan kad kuning meskipun dikasari Dele Alli.

Lesilo Rula menulis ‘Anthony Taylor langsung tidak melihat kepada VAR. Hanya mengelipkan mata ke arah skrin dan memutuskan ia adalah penalti dan kad merah.’ -Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd