Rawang: Akademi Golf Tunas Bestari (TBGA) bukan saja berhasrat melahirkan pemain golf negara bertaraf dunia pada masa depan, malah jaguh yang berupaya mencabar kejuaraan di peringkat antarabangsa dengan pakej lengkap sebagai individu hebat.
Disebabkan, akademi itu tidak lokek berbelanja dengan pakar luar negara mengepalai panel kejurulatihan diketuai Pengarah Program, Fergal McGeown dan jurulatih terkenal yang juga bekas jaguh profesional Australia, Stewart Ginn dibantu jurulatih tempatan meningkat naik, Zulaikha Nasser dan Afif Fathi.
Bagi Ginn, dia bukan saja mahu membentuk pemain remaja dengan skil hebat, malah berketerampilan dan memiliki karakter dan mental kental.
“Saya perhatikan ketika kejohanan antarabangsa, pemain kami berjalan tunduk ketika beraksi di lapangan. Ini perlu diubah bagi memastikan mereka mempunyai tahap keyakinan tinggi pada masa depan,” katanya pada majlis pelancaran Tunas Bestari 2026 di Kelab Golf Tasik Puteri di sini, Ahad lalu.
Hadir sama, Pengasasnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusinya, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim.
TBGA turut meraikan beberapa pelajar cemerlang seperti Nur Batrisyia Balqis, Ezekiel Riz Hafi Suzearitz dan Nur Diana Syafiqah yang menyinar di pentas antarabangsa.
Nur Batrisyia kini menduduki ranking 1,031 golf amatur dunia, Ezekiel Riz Hafi (1,795) dan Nur Diana Syafiqah (890).
Ginn turut mengejutkan tetamu apabila memanggil beberapa pemain muda ke pentas dan bertanyakan impian mereka sebagai pemain golf.
Bukan membuli, tapi yang nyata dia mahukan pemainnya memiliki tahap keyakinan tinggi dan tanpa malu mahu menjadi juara, walaupun perjalanan dan cabaran pasti sukar.
Inspirasi sama turut dikongsi Wan Shalihudin yang memberi amaran akan menggugurkan pemain yang statik dan memberi peringatan tidak ponteng kelas.
Ini kerana TBGA mahu melahirkan jaguh yang mempunyai pakej hebat sebagai insan, cemerlang dalam golf dan akademik.
“Misi teras kami adalah untuk mewujudkan laluan kukuh ke arah biasiswa universiti di Amerika Syarikat (AS), memastikan setiap pelajar dilengkapi untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan golf kompetitif dan akademik tinggi,” kata TBGA dalam satu kenyataan.
Katanya, akademi itu berkembang dengan luar biasa dengan beralih daripada inisiatif akar umbi kepada salah satu pusat latihan berprestasi tinggi terkemuka di negara ini.
“Kami sudah melahirkan juara yang bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Sepanjang sedekad lalu, kami membimbing pelajar terpilih berusia antara sembilan hingga 17 tahun di bawah McGeown dan
Ginn.
“Pada 2024, pelajar TBGA mencapai kejayaan bersejarah dengan menyapu bersih kemenangan dalam setiap kategori umur di Kejohanan MSSM Perempuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




