najiy.jefri@hmetro.com.my
Sitkom terkenal Singapura, Phua Chu Kang yang mula ditayangkan pada 1997 hingga 2007 mencapai 167 episod sepanjang lapan musim tayangannya.
Watak ikonik Phua Chu Kang yang dilakonkan dengan cemerlang Gurmit Singh meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan peminat, bukan saja di negara Kota Singa itu, malah peminat di Malaysia.
Watak ikoniknya yang berambut kerinting, bertahi lalat dan berkasut but kuning nyata menjadi simbol kegemaran ramai.
Lebih mencuit hati, dialog seperti ‘Don’t Play Play’ dan ‘Best in Singapore, JB, and some say Batam’ sudah tidak asing dalam kalangan penonton.
Aksi komedi spontan dan bersahaja yang ditampilkan oleh Phua Chu Kang sering kali mengundang gelak ketawa kepada peminat.
Selepas 17 tahun tidak menemui penonton di kaca TV, Phua Chu Kang akhirnya mengubat kerinduan peminat dengan mempersembahkan teater istimewa yang diberi nama Phua Chu Kang: The Greatest Show Man pada 24 dan 25 Oktober ini di HGH Convention Centre, Sentul, Kuala Lumpur.
Sebagaimana judulnya, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man, acara ini menjanjikan dua malam yang penuh warna-warni dan hiburan. Dengan bakat luar biasa Gurmit Singh dalam membawakan watak Phua Chu Kang, persembahan ini dijangka akan menjadi malam yang tidak dapat dilupakan.
Gurmit berkata, dia tidak sabar untuk bertemu secara langsung dengan peminat setelah sekian lama tidak bersua.
“Tentu saja saya tidak sabar untuk kembali dengan sesuatu yang segar tetapi masih membawa aura klasik Phua Chu Kang menerusi Phua Chu Kang: The Greatest Show Man.
“Bagaimana pementasan ini akan berlangsung dan apa yang akan terjadi, datang dan anda akan mendapatkan sebuah persembahan yang tidak pernah dijangka,” katanya.
Dalam pada itu, wakil syarikat produksi Popcorn Studio Sdn Bhd, Erik Ong memberi jaminan penonton akan menyaksikan sebuah pementasan teater yang berkualiti dan luar biasa.
“Percayalah Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan melakar sejarah tersendiri apabila dipentaskan nanti.
“Pada hari pementasan itu nanti, akan ada interaksi dengan penonton bagi menambah keterujaan dan memberi kepuasan kepada penonton,” katanya.
Selain itu, pementasan sitkom ikonik ini juga bakal dihangatkan dengan persembahan dari Russell Curtis dan komedi Rizal Van Geyzel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




