Tegas Tak Malu Beli Baju Murah, Suami Atikah Suhaime Utamakan Keluarga Sebelum Diri Sendiri

Tegas Tak Malu Beli Baju Murah, Suami Atikah Suhaime Utamakan Keluarga Sebelum Diri Sendiri

Suami kepada pelakon, Datin Atikah Suhaime iaitu usahawan, Datuk Lokman Teh menegaskan dirinya tidak kisah membeli pakaian murah secara atas talian asalkan selesa dipakai.

Menerusi hantaran di platform Threads, Lokman berkata, dia enggan mengikut pandangan sesetengah pihak yang memandang rendah pemakaian tanpa jenama terkenal.

“Ada yang tanya saya, ‘Boss beli baju online murah kenapa? Tak malu ke?’ Pertama, saya memang boikot barangan berjenama. Apa yang saya sudah beli sebelum ini, saya tetap pakai, tetapi saya tidak akan memberi sokongan selagi perang belum tamat.

“Kedua, kenapa perlu malu? Baju tetap baju, tidak kira murah atau mahal. Kalau kata kain murah buat badan gatal, mungkin awak orang kaya baru kot,” katanya.

Lokman turut menegaskan keyakinan diri tidak bergantung kepada jenama atau harga pakaian.

“Saya pakai murah atau mahal, sama saja. Keyakinan bukan datang daripada apa yang dipakai, tetapi siapa diri kita,” ujarnya.

Menurut Lokman, keutamaannya kini adalah memastikan isteri dan anak perempuannya, Mulan, selesa dan mendapat yang terbaik walaupun terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk diri sendiri.

“Keutamaan saya adalah isteri tercinta, Atikah, dan anak saya. Mereka nak apa, saya akan utamakan sebelum diri sendiri. Ini baru lelaki sejati. Bukan dengar cakap kawan toksik atau peminat yang persoal kenapa pakai baju murah.

“Saya sanggup lakukan apa saja untuk keluarga,” katanya.

Untuk rekod, Atikah dan Lokman mendirikan rumah tangga pada 21 Januari tahun lalu, dan dikurniakan cahaya mata perempuan pada Mac lalu.

Scroll to Top