razis@mediaprima.com.my
Sejak dari awal, wanita ini tidak pernah merancang terbabit secara langsung dengan kerja-kerja konservasi gajah Borneo di Sabah.
Bagaimanapun minat terhadap mamalia itu berubah selepas Dr Nurzhafarina Othman atau lebih mesra dengan panggilan Dr Farina melanjutkan pelajaran dalam bidang biologi pemuliharaan di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kemudian, minat mendalam terhadap bidang itu mendorong anak kedua daripada lima beradik ini, melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang bioscience di Cardiff University, Wales.
Bidang itu membuka matanya bahawa kurangnya kesedaran masyarakat dalam mengurus gajah boleh mengubah perilaku haiwan itu yang akhirnya memberi kesan negatif kepada manusia.
Menyedari perkara itu, pensyarah kanan UMS berkenaan sanggup mengorbankan masa, wang dan tenaga dengan mengambil inisiatif menubuhkan Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Sabah atau dikenali sebagai Seratu Aatai pada Disember 2018 untuk memulihara gajah Borneo di Sabah.
Nama Seratu Aatai berasal daripada Sungai lingo (suku sungai yang tinggal di sepanjang Sungai Kinabatangan) bermaksud bersatu hati yang sesuai dengan misi mereka mewujudkan masyarakat yang sanggup dan mampu memikul tanggungjawab untuk melindungi dan hidup bersama dengan gajah.
Seratu Aatai bekerjasama dengan pihak berkepentingan berbeza yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam pemuliharaan gajah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk membangunkan strategi yang mengimbangi keperluan pemuliharaan gajah dan faedah sosio-ekonomi.
Empat objektif utama pelan tindakan disokong Seratu Aatai iaitu meningkatkan perlindungan dan mengurangkan kematian gajah, meningkatkan ketersambungan landskap dan kebolehtelapan, memastikan amalan ex-situ terbaik untuk pengurusan dan pemuliharaan gajah serta memantau dan meramal trend populasi gajah.
Ternyata usaha tidak mengkhianati hasil, apabila baru-baru ini Seratu Aatai mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas diumum sebagai penerima anugerah Whitley Award di London, sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.
Whitley Award adalah anugerah antarabangsa yang mengiktiraf dan membiayai pemimpin pemuliharaan tempatan di seluruh dunia dengan menyediakan sokongan kewangan, pengiktirafan dan peluang rangkaian untuk mengembangkan kerja pemuliharaan mereka.
Dr Farina mengakui bukan mudah mendapat pengiktirafan sebesar itu kerana perlu melalui proses yang agak panjang dan sangat kompetitif.
“Saya tidak menaruh harapan tinggi kerana faham mereka iktiraf projek yang mempunyai impak positif kepada komuniti dan spesies hidupan liar. Bagaimanapun selepas melalui beberapa proses, Alhamdulillah kita berjaya.
“Pada permulaannya saya tidak percaya sehingga hari saya berada di kota London untuk menerima anugerah itu.Ini ialah kejayaan pasukan dan platform yang sangat baik untuk berkongsi cerita dan isu gajah Borneo di platform antarabangsa,” katanya.
Mengimbas kembali pembabitannya sebagai ‘pejuang’ gajah Borneo itu, Dr Farina berkata, dia ingin terbabit secara langsung kerana rasa tanggungjawab memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai usaha pemuliharaan mamalia itu.
“Melalui Seratu Aatai, kami cuba meningkatkan toleransi komuniti dan pihak lain yang bersama-sama berkongsi kawasan yang semakin padat dan sesak dengan aktiviti manusia.
“Kami berusaha memberi pengetahuan dan kemahiran supaya masyarakat faham cabaran dihadapi gajah untuk terus hidup.
“Antara usaha kami lakukan menubuhkan pasukan Warden Kehormat Hidupan Liar Komuniti untuk bersama-sama membantu mengawal kemasukan gajah ke kawasan komuniti,” katanya.
Bagaimanapun untuk sampai ke tahap itu bukan mudah kerana di awal penubuhan Seratu Aatai pelbagai cabaran perlu ditempuhi.
“Antaranya mendapatkan keyakinan ramai pihak berikutan faktor usia yang pada ketika itu masih muda. Saya perlu buktikan walaupun muda, idea diketengahkan mampu memberi impak positif untuk jangka masa panjang.
“Saya perlu fokus kepada hasil dan sentiasa mencari peluang serta tidak berputus asa untuk menjayakan idea pasukan,” katanya.
Jelasnya untuk terbabit dalam bidang ini, jantina tidak pernah menjadi penghalang untuk mengecapi kejayaan asalkan memiliki ketabahan, fokus, rendah hati, sentiasa bersedia keluar dari zon selesa, sentiasa mempunyai keinginan menimba ilmu dan tidak malu untuk bercakap.
“Peranan besar dipegang sebagai Pengarah Seratu Aatai memerlukan saya banyak melakukan kerja-kerja membina ‘networking,’ membuat kutipan dana dan memastikan kelancaran program konservasi, selain membina kapasiti ahli pasukan. Dana untuk menggerakkan program konservasi kebanyakan diperoleh daripada luar negara
“Untuk itu, saya sentiasa dicabar untuk mencari jalan dan kaedah untuk menyatukan semua pihak untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya.
Dr Farina mengakui kesedaran terhadap pemuliharaan gajah sebenarnya sudah ada namun masih kurang tindakan pihak lain yang tiada kepentingan secara langsung terhadap haiwan ini.
“Saya lihat tindakan hanya daripada agensi yang bertanggungjawab. Kita perlu selesaikan masalah asas konflik manusia dan gajah dengan bukan sekadar menutup isu,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap, kawasan habitat yang masih ada perlu dipelihara untuk memastikan populasi gajah Borneo tidak diancam kepupusan.
“Bagi penekanan dan peluang kepada generasi muda yang ambil berat mengenai isu alam sekitar kerana mereka yang akan menanggung kesan di masa depan. Kepesatan ekonomi tidak akan ke mana jika ekosistem terganggu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




