TEHRAN – Iran akan membalas dendam Israel susulan kematian Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dengan pendekatan “diurus dengan baik” tanpa meningkatkan krisis serantau, kata seorang pakar keselamatan Iran.
“Kita akan menyaksikan peningkatan ketegangan di rantau ini, tetapi dengan cara yang terurus. Saya berangggapan tidak mungkin perang menyeluruh akan meletus,” Hassan Beheshtipour, seorang penganalisis hal ehwal antarabangsa yang berpangkalan di Tehran.
Bercakap kepada Xinhua, Beheshtipour menekankan langkah memperhebatkan krisis bukan untuk kepentingan Iran mahupun kumpulan penentang.
Beliau menyatakan, pendekatan masa lalu Iran, seperti tindak balas terancang terhadap serangan maut Israel ke atas konsulat Iran di Syria pada awal April, sebagai contoh pendekatan strategik Iran.
Haniyeh, yang dijemput untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada hari Selasa, telah dibunuh bersama pengawal peribadinya apabila kediaman mereka di Tehran diserang, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, yang menuduh Israel melakukan “serangan pengganas” dan berikrar “tindak balas yang keras dan menyakitkan.”
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei berkata, Israel telah menyediakan alasan untuk “hukuman keras” kepada dirinya sendiri.
Dakwaan pembunuhan Haniyeh oleh Israel berlaku sehari selepas Israel mendakwa, serangan di ibu kota Lubnan, Beirut telah membunuh Fouad Shokor, seorang komander tentera tertinggi Hezbollah.
Pada hari Rabu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, Israel akan bertindak balas dengan kuat terhadap sebarang serangan balas berikutan kematian Haniyeh dan Shokor.
Beliau berkata, Israel telah bersedia “untuk sebarang senario,” sambil menambah, ia “akan memberikan harga yang sangat tinggi terhadap sebarang pencerobohan dari dari mana-mana bahagian”. – Agensi




