Tekad pelihara warisan, Md Isa gigih bertukang pada usia 84 tahun

Tekad pelihara warisan, Md Isa gigih bertukang pada usia 84 tahun

am@hmetro.com.my

Sik: Usia Md Isa Said sudah menjangkau 84 tahun, namun kudratnya masih gagah memegang golok untuk mengukir hulu cangkul bagi memenuhi tempahan pelanggan.

Minat mendalam terhadap kraftangan kayu dan kerja pertukangan dipupuk sejak lebih 40 tahun lalu menjadi pendorong dirinya untuk terus berkarya walaupun penglihatan dan pendengarannya semakin berkurang dimamah usia.

Sebelum ini Md Isa bekerja sebagai tukang kebun di beberapa sekolah di daerah ini sebelum bersara pada usia 54 tahun.

“Lepas pencen saya tak mahu duduk diam. Saya memang minat kerja kayu sejak kanak-kanak lagi, jadi saya hasilkan hulu cangkul dan parang serta barang lain untuk tambah pendapatan.

“Saya tak boleh duduk saja di rumah, rasa badan lemah, jadi lebih baik bekerja dan menjual barang di depan rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Charuk Kit, simpang tiga Rimba Takwa, di sini .

Bapa kepada empat anak ini berkata, pada awalnya dia hanya membuat peralatan untuk kegunaan sendiri dan jiran terdekat sebelum menerima lebih banyak tempahan daripada penduduk sekitar.

Katanya, sebelum ini dia berniaga di pasar namun memerlukan kos tinggi kerana perlu membayar kereta sewa untuk mengangkut barangnya.

“Dulu ada orang tolong angkut barang, tapi sekarang dia sakit. Barang pula banyak, jadi saya buat sendiri setakat mampu.

“Sejak dua tahun lalu saya berniaga di depan rumah, Alhamdulillah ramai yang singgah beli. Saya hasilkan barang dalam sehari ikut kemampuan, kalau rasa tak larat saya rehat,” katanya yang memulakan kerja seawal 8 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Antara barangan yang dihasilkan termasuk parang, golok, pisau toreh, sudip kayu, hulu kapak, hulu cangkul, kayu pemotong ikan, tongkat serta tabung buluh.

Datuk kepada lapan orang cucu ini berkata, dia tidak menyangka hasil tangannya turut menarik perhatian pelancong luar negara termasuk dari Korea, Jepun dan Singapura yang singgah membeli sebagai cenderamata.

Katanya, secara purata jualannya mencecah RM300 sehari dengan keuntungan antara RM50 hingga RM60 bergantung kepada jumlah tempahan.

Ketika ditanya bagaimana dia menjaga kesihatan badan, Md Isa berkata dia hanya makan nasi sekali sehari dan gemar menikmati ulam pahit serta bersyukur tidak menghidap penyakit kronik.

Md Isa berkata selagi kudratnya masih ada, selagi itu dia akan terus mengukir demi memastikan warisan pertukangan kayu tidak hilang ditelan zaman.

Katanya, generasi muda kini kurang berminat mempelajari kemahiran pertukangan kayu malah anak-anaknya juga tidak berminat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top