am@hmetro.com.my
Seri Kembangan: “Awak anak tauke bolehlah hidup senang.” Itu kata-kata sinis pernah diterima Charl Yee, 31, hanya kerana dia meneruskan perniagaan kasut yang asalnya diusahakan datuk dan bapanya.
Sindiran itu tidak mematahkan semangat Charl yang juga anak kedua daripada empat beradik kerana nekad menjadi generasi ketiga menyambung legasi perniagaan keluarga.
Berkongsi kisahnya, Charl berkata, dia menamatkan pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan di Universiti West of England (UWE), Bristol di United Kingdom (UK) pada 2016.
“Ikutkan, saya tak nak balik ke Malaysia selepas tamat pengajian kerana nak sambung lagi pengajian di sana (UK) dan timba lebih banyak pengalaman.
“Itu perancangan asalnya tapi ayah nak orang yang dia boleh harap dan percaya untuk bantu urus perniagaan.
“Jadi saya pulang juga ke tanah air tapi tak berseorangan kerana bantu uruskan perniagaan ayah dengan adik beradik lain iaitu Munn Yee (34), Charlyee (31), Shin (29) dan Bok Mun (34),” katanya kepada Harian Metro.
Biarpun menguruskan perniagaan keluarga sendiri, Charl akui tugas itu tidak semudah disangka terutama dengan usianya yang muda dan perlu menggalas jawatan sebagai pengurus projek.
Katanya, cabarannya adalah menguruskan lebih 20 kakitangan yang jauh lebih berpengalaman daripadanya namun ilmu dipelajari sepanjang tempoh pengajian banyak membantu dalam soal pengurusan.
“Bayangkan, saya kena uruskan mereka yang ada lebih 20 tahun pengalaman kerja berbanding saya. Mahu atau tidak, kena buat juga dan usaha empat kali ganda supaya dapat buktikan kepada orang yang saya bukan sekadar anak ‘tauke’.
“Cuma biasalah, ada saja yang persoalkan siapa saya mungkin kerana ragu dengan kemampuan tapi saya teruskan saja.
“Apa yang saya rasai sekarang baru sedikit jika dibandingkan dengan kesusahan datuk dan ayah dalam membangunkan perniagaan mereka. Mujurlah saya sambung pengajian dalam perniagaan kerana ia membantu jadi ilmu sangat penting untuk berniaga, bukan duit semata-mata,” katanya.
Selari dengan peredaran zaman, Charl dengan dibantu adik beradiknya mahu membawa perubahan dalam produk keluaran syarikat iaitu kasut dan juga beg supaya lebih bersesuaian trend dan citarasa generasi kini.
“Saya tak terbabit dalam menghasilkan rekaan terbaru kerana salah seorang kakak yang bertanggungjawab dalam hal itu.
“Tapi kami ada berbincang kerana kalau boleh, nak rekaan dikeluarkan bersesuaian dengan generasi sekarang atau gen Z dan yang berusia lingkungan 40 tahun.
“Itu harapannya kerana matlamat saya adalah nak pertahankan perniagaan keluarga kerana jika bukan saya dan adik beradik, siapa lagi?” katanya yang juga aktif mempromosikan menerusi media sosial dan mahu produk keluaran syarikatnya menjadi jenama pilihan netizen.
Berhubung kemunculan banyak jenama tempatan pada masa kini, Charl anggap ia satu persaingan sihat dalam industri perniagaan dan menjadi pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




