Tekan loceng sebelum pecah masuk rumah, bangunan

Tekan loceng sebelum pecah masuk rumah, bangunan

am@hmetro.com.my

Taiping: Tekan loceng untuk pastikan pemilik tiada sebelum pecah masuk rumah atau bangunan.

Itu modus operandi dilakukan kumpulan pecah rumah dan kenderaan dikenali Geng Takim, sebelum melakukan jenayah berkenaan.

Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar apabila tiga individu termasuk seorang wanita ditahan jam 1.30 pagi, pada 7 Oktober lalu hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata ketiga-tiga mereka yang juga rakan karib berusia antara 21 hingga 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Changkat Jering.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit 13 kes pecah rumah dan kenderaan di daerah ini.

“Pemeriksaan menemui kuku kambing, tukul besi, pemotong dan pemutar skru dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah, pejabat sekolah, kedai runcit dan mencuri kenderaan.

“Turut ditemui komputer riba milik sekolah serta barangan lain seperti tablet, generator, tong gas, rim motosikal, bateri kereta, telefon bimbit dan rokok,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mohamad Nasir berkata, turut ditemui sebuah lori satu tan dan motosikal Honda Vario dipercayai dicuri di lokasi berasingan.

Katanya, kumpulan ini melakukan kegiatan ini pada waktu malam.

“Kesemua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine, manakala ketua kumpulan turut mempunyai 30 rekod jenayah lampau.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000 tidak termasuk nilai kenderaan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman bermula 8 Oktober dan siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top