nurul_husna@mediaprima.com.my
Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sering tertumpu kepada ancaman bahaya seperti bahan kimia, mesin dan kebisingan.
Bagaimanapun, terdapat satu lagi elemen bahaya perlu diberi keutamaan iaitu ancaman psikososial.
Ancaman atau bahaya psikososial merujuk kepada gangguan mental yang bukan hanya memberi kesan kepada ekosistem di tempat kerja, malah di luar pekerjaan.
Menurut Doktor Kesihatan Pekerjaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Psikologi Jiwadamai, Dr Hasnor Safwan, gangguan mental seperti tekanan dan kemurungan antara bahaya psikososial paling ketara membabitkan golongan pekerja.
“Bilangan rakyat Malaysia mengalami tekanan dan kemurungan sudah berganda sejak sekian tahun. Namun masih ramai pekerja mendiamkan diri kerana stigma dan rasa takut hilang pekerjaan.
“Data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati, 4.6 peratus rakyat dewasa berumur 16 tahun ke atas (kira-kira satu juta orang) mengalami kemurungan.
“Angka ini berganda daripada 2.3 peratus pada 2019 dan lebih membimbangkan, lebih kurang separuh daripada responden NHMS yang mengalami kemurungan ini turut melaporkan fikiran untuk mencederakan diri atau berasakan ‘lebih baik mati’,” katanya.
Tambah Dr Hasnor, tekanan bukan lagi sekadar tekanan emosi, sebaliknya ia membabitkan isu keselamatan dalam dunia pekerjaan.
“Gangguan kecil pada tumpuan, daya membuat keputusan atau masa tindak balas pekerja, boleh berakhir dengan kemalangan.
“Contoh, jika seorang pemandu treler tidak tidur kerana tekanan, kesannya kepada keselamatan jalan raya setara dia memandu dalam keadaan mabuk.
“Kerana itu kesihatan mental pekerja bukan lagi soal ‘baik untuk ada’, ia adalah soal kesihatan dan keselamatan pekerjaan,” katanya.
Menurut beliau, penting kepada pekerja dan majikan mendapat gambaran mengenai gejala awal jika individu berkaitan mengalami masalah tekanan atau kemurungan di tempat kerja.
Kata Dr Hasnor, petanda awal boleh dilihat menerusi perubahan tingkah laku mereka.
“Antaranya menunjukkan reaksi emosi tertekan walaupun selepas bercuti.
“Selain itu, sukar tidur atau letih setiap kali bangun. Mereka juga mudah marah, hilang sabar atau menangis tanpa sebab.
“Akhirnya, mereka sukar memberi tumpuan, lupa pada tugas selain lambat membuat keputusan,” katanya.
Kata Dr Hasnor, jika simptom itu berlarutan sehingga menjejaskan prestasi kerja, sebaik-baiknya pekerja terbabit dirujuk kepada Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) dan Ahli Profesional Kesihatan Mental.
“Ramai pekerja takut berjumpa OHD dan Profesional Kesihatan Mental kerana bimbang status mental mereka akan dimaklumkan kepada majikan. Ini adalah salah faham.
“Maklumat kesihatan mental adalah data peribadi sensitif di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
“Ahli profesional hanya akan memaklumkan kepada majikan dalam bentuk bahasa fungsi. Contoh, ‘memerlukan jadual kerja yang stabil selama enam minggu’ tanpa mendedahkan diagnosis kecuali dengan kebenaran bertulis pekerja.
“Penilaian OHD memberi tumpuan pada fungsi kerja, iaitu sejauh mana simptom menjejaskan keupayaan pekerja menjalankan tugas dengan selamat dan berkesan, bukan pada label diagnosis,” katanya.
Tambah pakar itu lagi, lebih baik menangani gejala awal daripada ia dibiar berlarutan.
“Bagi masalah ringan hingga sederhana seperti ‘burnout’ awal, gangguan penyesuaian atau kebimbangan ringan, ia cukup dengan merujuk kepada ahli psikologi klinikal selain tidak membabitkan pengambilan ubat.
“Tetapi untuk simptom yang lebih berat atau memerlukan diagnosis lanjut dan rawatan farmakologi, barulah dirujuk kepada psikiatri. Dalam banyak kes, kedua-duanya bekerja serentak,” katanya.
Terdapat juga keperluan mendesak andai pekerja menunjukkan gejala berat bagi gangguan kepada kesihatan mental mereka.
“Dalam kes tertentu, jika terdapat gejala yang serius, langkah segera perlu diambil.
“Gejala terbabit seperti pekerja berkaitan meluahkan idea atau rancangan untuk mencederakan diri, atau pernah ada sejarah cuba mencederakan diri.
“Malah, pekerja yang berdepan tekanan atau kemurungan, berhalusinasi atau kehilangan pegangan dengan realiti juga perlu dirujuk segera.
“Paling serius jika mereka menunjukkan tingkah laku tidak terkawal hingga membahayakan diri atau orang lain,” katanya.
Selain itu, Dr Hasnor menggesa majikan atau organisasi mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2022 yang dengan jelas menekankan pencegahan.
Antaranya, mengurangkan punca tekanan di tempat kerja sebelum pekerja jatuh sakit, ia termasuk beban kerja yang munasabah, jadual yang dapat diramal, kepimpinan yang menyokong dan budaya yang menghormati.
Pekerja juga perlu mengamalkan disiplin diri dengan menjaga waktu tidur, menghadkan komunikasi kerja di luar waktu, memelihara hubungan keluarga, bersenam dan tidak takut bercakap dengan rakan sekerja atau pakar apabila beban mula berat.
Kesihatan mental bukan kelemahan. Ia adalah tanggungjawab bersama pekerja, majikan dan sistem kesihatan pekerjaan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




