Tekanan antarabangsa terhadap Israel bukti misi GSF berjaya buka mata dunia

Tekanan antarabangsa terhadap Israel bukti misi GSF berjaya buka mata dunia

am@hmetro.com.my

Sepang: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disifatkan berjaya membuka mata dunia terhadap kekejaman rejim Israel, selain memberi tekanan besar kepada kerajaan itu, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.

Menurutnya, ia dapat dilihat berdasarkan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak, termasuk pengeluaran lima waran tangkap terhadap beberapa pemimpin Israel yang didakwa sebagai penjenayah perang dunia.

Katanya, antara individu itu termasuk Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Nasional Itamar Ben-Gvir atas penindasan terhadap rakyat Palestin dan aktivis kemanusiaan.

“Jadi hari ini saya boleh rumuskan kita patut definisikan bahawa misi ini sebenarnya sudah pun berjaya dan misi ini menang untuk membuka mata dunia dan untuk menggoncang penjenayah ini.

“Saya kira lima waran tangkap atas nama penjenayah perang dunia kepada lima tokoh mereka ini termasuk Menteri Kewangan dan juga Menteri Keselamatan Nasional mereka begitu memberi kesan kepada rejim ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sani Araby berkata, pihaknya juga menerima maklumat awal bahawa rejim itu sememangnya bersedia membawa kumpulan aktivis ke penjara, namun tekanan antarabangsa dan dalaman Israel menyebabkan rancangan itu tidak diteruskan.

Katanya, tekanan memuncak selepas tersebarnya video memaparkan layanan kasar terhadap aktivis kemanusiaan sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat dunia termasuk rakyat Israel sendiri.

“Knesset (Parlimen Israel atau badan perundangan utama negara berkenaan) mereka digoncang untuk dibubarkan segera oleh kerana tekanan yang begitu kuat atas satu video mereka keluarkan menunjukkan betapa kejam (tindakan dilakukan terhadap aktivis).

“Jadi kemarahan itu saya melihat merebak begitu cepat sehinggakan mereka menerima bantahan dan nota diplomatik yang bukan lagi mengecam, (tetapi juga tekanan),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hubungan diplomatik rapat antara Malaysia dan Turkiye turut membantu mempercepatkan proses pembebasan aktivis rakyat Malaysia.

“Kita antara kumpulan terawal diberikan keutamaan untuk dibawa pulang,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, seramai 428 aktivis peserta GSF termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel sudah dibebaskan hari ini, dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top