hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tekanan ekonomi, kekurangan peluang pekerjaan, pengaruh rangkaian sosial dan masalah keluarga antara faktor menyebabkan seseorang mudah dipengaruhi dan menjadi mangsa eksploitasi sindiket antarabangsa untuk dijadikan keldai dadah.
Ketua Program Kriminologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azahah Abu Hassan Sha’ari berkata, beberapa faktor utama di peringkat individu, sosial, ekonomi dan struktur boleh menyebabkan seseorang terdedah kepada risiko dieksploitasi atau direkrut sindiket jenayah terancang, termasuk penyeludupan dadah antarabangsa.
Menurutnya, keadaan seseorang yang mudah dipengaruhi atau dieksploitasi biasanya berpunca daripada pelbagai faktor termasuk tekanan ekonomi, kekurangan peluang pekerjaan, ketidaksamaan sosial, pengaruh rangkaian sosial, masalah keluarga, penggunaan dadah, faktor psikologi, kelemahan struktur dan tadbir urus.
“Dari perspektif kriminologi, faktor ini penting kerana sindiket jenayah terancang boleh mengenal pasti dan mengeksploitasi kerentanan yang sedia ada untuk perekrutan.
“Ia terutama apabila seseorang berhadapan tekanan kewangan, mempunyai sokongan sosial yang terhad atau mempunyai hubungan dan akses kepada individu dalam rangkaian jenayah.
“Dalam sesetengah keadaan, proses perekrutan juga boleh berlaku secara berperingkat bermula dengan tawaran yang kelihatan sah atau tidak berbahaya sebelum individu berkenaan dibawa kepada pembabitan yang lebih serius,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM berkata, orang ramai perlu berwaspada apabila berhadapan dengan tawaran pekerjaan yang terlalu menarik, bayaran lumayan untuk tugas yang sangat mudah dan tekanan untuk membuat keputusan segera.
Katanya, selain itu, maklumat majikan yang tidak jelas, permintaan memberikan maklumat peribadi atau arahan membawa beg dan bungkusan milik orang lain.
“Tawaran melalui media sosial juga perlu disahkan terlebih dahulu dan tidak boleh dianggap sah hanya berdasarkan profil atau komunikasi dalam talian.
“Dalam konteks sindiket dadah antarabangsa, prinsip paling penting ialah ‘jangan mudah percaya, jangan terburu-buru dan sentiasa buat pengesahan’.
“Jika seseorang menawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji luar biasa tetapi skop tugas tidak jelas, membayar tiket perjalanan secara tiba-tiba atau meminta kita membawa beg atau bungkusan yang kandungannya tidak dapat diperiksa sendiri, ia wajar dianggap sebagai tanda amaran serius,” katanya.
Azahah berkata, usaha mencegah rakyat Malaysia daripada terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di luar negara memerlukan pendekatan bersepadu yang menggabungkan aspek penguatkuasaan dan pencegahan.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang dan kawalan sempadan perlu disokong oleh pendidikan masyarakat, intervensi sosioekonomi, pembabitan komuniti, perlindungan mangsa serta pengukuhan undang-undang, dasar dan kerjasama antarabangsa.
“Pada masa yang sama, kerjasama antara agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan, komuniti dan rakan antarabangsa amat penting kerana sindiket dadah beroperasi merentasi sempadan dan sentiasa menyesuaikan taktik perekrutan serta modus operandi mereka.
“Oleh itu, strategi pencegahan tidak seharusnya hanya bersifat reaktif, iaitu mengambil tindakan selepas seseorang ditangkap dalam atau luar negara.
“Sebaliknya, pendekatan lebih proaktif perlu memberi tumpuan kepada pengesanan awal, peningkatan kesedaran masyarakat, pengurangan faktor kerentanan serta usaha mengenal pasti dan memutuskan proses perekrutan sebelum seseorang rakyat Malaysia diperdaya, dieksploitasi atau terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah di luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

