Tekanan hadapi peperiksaan mungkin punca David Balisong lari ke Malaysia – Ibu

Tekanan hadapi peperiksaan mungkin punca David Balisong lari ke Malaysia – Ibu

Kuala Lumpur: Tekanan menghadapi peperiksaan A-Level mungkin menjadi punca remaja Britain berusia 17 tahun, David Balisong, melarikan diri ke Malaysia.

Berita Harian melaporkan ibu mangsa, Minerva Balisong, 51, berkata anak sulungnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, namun lebih suka menyendiri.

“Dia seorang anak yang sangat baik. Jadi apabila perkara ini berlaku, ia benar-benar satu kejutan besar.

“Saya rasa dia menghadapi sedikit tekanan dengan peperiksaan, yang mana ia dihadapi oleh setiap pelajar semasa musim peperiksaan dan setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghadapinya.

“Saya rasa datang ke Malaysia untuk merehatkan minda adalah satu jalan yang dia pilih,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Buletin TV3 di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, David tidak mempunyai sebarang pertalian mahupun kenalan di Malaysia.

Beliau berkata ahli keluarga juga cuba menghubunginya melalui telefon bimbit setelah kehilangannya dilaporkan tetapi gagal.

“Sejak dia dilaporkan hilang, (telefon bimbitnya) dimatikan. Kami juga telah menghantar beberapa mesej dan emel kepadanya.

“Tetapi berputus asa bukanlah satu pilihan kerana saya tahu hanya ibu dan bapa yang sanggup mencari anak mereka hingga ke hujung dunia,” katanya.

Dalam masa sama, Minerva juga menzahirkan penghargaan kepada pihak yang telah menjumpai remaja itu.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia termasuk pihak berkuasa dalam usaha mencari ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih khas kepada insan yang melaporkan penemuannya. Anda telah melakukan tindakan yang betul dan berani,” katanya sebak.

Semalam, remaja yang dilaporkan hilang sejak 7 Jun lalu ditemui selamat oleh polis di sebuah hotel berhampiran Jalan Pudu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top