Tekanan ‘menggunung’ buat Simeone

Tekanan ‘menggunung’ buat Simeone

ATLETICO Madrid menerima tamparan hebat apabila gagal melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala Dunia Kelab, meskipun menutup kempen dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Brazil, Botafogo, pada perlawanan terakhir Kumpulan B pada Selasa.

Pasukan kendalian Diego Simeone itu menamatkan saingan di tangga ketiga dalam kumpulan yang dianggap sebagai ‘kumpulan maut’, berkongsi enam mata dengan Paris Saint-Germain (PSG) dan Botafogo.

Namun tersingkir berdasarkan perbezaan gol selepas kekalahan besar 0-4 kepada PSG dalam perlawanan pembukaan terbukti menjadi titik tolak kepada kegagalan mereka.

Ia sekali gus menghancurkan harapan gergasi La Liga Sepanyol itu untuk mara ke peringkat kalah mati dalam kejohanan yang kini berwajah baharu hasil reformasi Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

Skuad Los Colchoneros hadir ke bumi Amerika Syarikat dengan reputasi besar serta barisan pemain ternama termasuk penyerang Argentina, Julian Alvarez, bekas kapten Perancis, Antoine Griezmann, serta penjaga gol berpengalaman, Jan Oblak.

Namun, kecemerlangan individu gagal menutup kelemahan kolektif pasukan, terutama dalam aspek pertahanan dan kreativiti di zon serangan terakhir.

Walaupun berjaya mengutip enam mata hasil dua kemenangan, kekalahan besar kepada PSG menjadi ‘dosa awal’ yang menghukum Atletico.

Dalam sidang media pascaperlawanan, Simeone menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang anak buahnya, tetapi turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan.

“Saya bangga dengan komitmen pemian-pemain. Kami menewaskan dua lawan, namun kami masih tersingkir.

“Enam mata bukanlah satu pencapaian yang buruk, tetapi perlawanan menentang PSG menjadi penentu. Banyak keputusan pengadil tampak tidak memihak kepada kami,” ujar beliau.

Scroll to Top