nurul_husna@hmetro.com.my
Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Malaysia adalah istilah yang merujuk kepada teknik pembinaan di mana komponennya dibuat dalam persekitaran terkawal, sama ada di tapak atau di luar tapak.
Teknologi itu semakin menjadi pilihan dalam dunia pembinaan moden bukan hanya kerana kecekapannya, tetapi juga potensinya dalam menyelesaikan isu struktur, kos dan masa yang menghantui industri konvensional.
Namun, di sebalik segala kelebihan itu, timbul ‘konflik’ membabitkan teknologi berkenaan dengan pengamal hiasan dalaman.
Isu itu dikongsi Pengasas Mamy Home Sdn Bhd yang juga pereka hiasan dalam bertauliah, Amin Yusoff apabila pihaknya melakukan kerja-kerja penataan dan pengubahsuaian kediaman.
Bagaimanapun, Amin mengakui teknologi IBS antara inovasi terbaik dalam menyelesaikan isu berkaitan pembinaan kediaman.
“Pemilik rumah hari ini bukan sekadar mahu rumah cantik, tapi mereka juga mahu rumah yang tepat, kukuh dan tenang untuk didiami.
“IBS memenuhi keperluan itu menerusi kualiti binaan yang konsisten (kurang retak, kurang kerja baik pulih), masa pembinaan lebih cepat, tapak pembinaan lebih bersih dan kurang gangguan selain kos jangka panjang lebih terkawal.
“Ia turut membantu pihak industri perumahan apabila teknologi IBS itu serasi dengan BIM (Building Information Modelling), menyokong rekaan mampan (bangunan hijau) dan boleh menepati standard skala tanpa korbankan kualiti,” katanya.
Tetapi, di sebalik kelebihan itu, terdapat penambahbaikan diperlukan dalam perincian teknologi IBS supaya dapat berkompromi dengan perubahan ekosistem dekorasi dalaman rumah.
Kata Amin, sejak wujudnya kediaman IBS, pihaknya menyedari inovasi rumah siap bina mencipta cabaran baru buat pereka hiasan dalaman dan juga pemilik kediaman itu sendiri.
“Sejak IBS digunakan dalam pembinaan kediaman di Malaysia, wujud cabaran baru buat pereka hiasan dalaman yang terbabit dalam ubah suai kediaman.
“Secara umum, orang ramai memahami IBS ini rumah yang sudah sedia memiliki struktur sudah siap dan secara tidak langsung struktur tidak boleh diubahsuai seperti mana dilakukan pada rumah dibina secara konvensional.
“Antara isu kerap muncul ialah kekangan struktur tetap iaitu merujuk kepada dinding panel tidak mudah diubah atau dirobohkan bagi binaan semula.
“Selain itu, banyak kabel dan saluran tersembunyi perlu lebih teliti kerana kerja-kerja pengubahsuaian selepas itu menjadi bertambah sukar.
“Permukaan panel precast (dipasang siap) tidak sama seperti dinding bata dan ia perlukan kerja-kerja pemulihan tekstur dan cat menggunakan kaedah khas,” katanya.
Sebenarnya seawal kerja ‘modelling’ membentuk struktur pasang siap atau panel untuk kediaman IBS perlu juga mengambil kira pandangan arkitek dan pereka dalaman selain jurutera IBS semata-mata.
“Kerjasama awal antara arkitek, jurutera dan pereka dalaman boleh menangani konflik IBS dengan industri rekaan dalaman.
“Babitkan kumpulan industri berkaitan dengan fasa pelan IBS. Kemudian koordinasi dengan kontraktor struktur untuk penyelarasan saluran dan bukaan
“Selain itu, pereka dalaman perlu cakna kemasan dan kaedah pemulihan panel yang sesuai untuk IBS (panel timber, soft cladding, plaster skim coating),” katanya.
Amin juga berkata, pemilik juga perlu cakna mengenai jenis binaan kediaman mereka supaya masalah berkaitan binaan IBS dapat dielak ketika melakukan kerja-kerja ubah suai dan tata hias ruang dalam kediaman.
“Kebanyakan pemilik kediaman tidak sedar rumah mereka adalah binaan IBS dan apabila mahu pecahkan dinding, buka laluan baru dan kerja penambahan pendawaian barulah menyedari kerja-kerja dilakukan itu mengalami masalah.
“Jika mahu menata hias kediaman, pilihan mereka agak terhad kerana ubah suai rumit kerana terdapat kos tambahan untuk pelan semula struktur.
“Biasanya pilihan konsep yang sepadan dengan kediaman jenis ini ialah minimalis moden, ‘scandinavian wabi-sabi’ dan ‘industrial soft.’
“Ketiga-tiga konsep ini menekankan elemen moden, sederhana dan tidak sarat menjadikan urusan ubah suai kediaman lebih mudah,” katanya.
Beliau menambah, bagi mengenal pasti kediaman IBS, terdapat ciri-ciri utama boleh dilihat pemilik kediaman.
“Panel dinding besar dan rata dengan sempurna. Tiada garisan bata atau konkrit biasa dapat dilihat.
“Ruang atas kediaman seperti pintu atau tingkap tampak seperti tiada tanda penggunaan rusuk sokongan yang jelas (kerana ia dicetak sekali).
“Struktur bumbung atau slab yang kelihatan sangat ‘modular’ dan begitu sempurna pada pandangan mata kasar,” katanya.
Berikut konsep disarankan untuk kediaman inovasi IBS
Minimalis moden
Industrial soft
© New Straits Times Press (M) Bhd



