Teknologi pengimejan termaju

Teknologi pengimejan termaju

surayaroslan@mediaprima.com.my

MALAYSIA melakar satu lagi pencapaian penting dalam landskap penjagaan kesihatan apabila Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatat sejarah sebagai hospital pertama di negara ini memperkenalkan teknologi pengimejan termaju, pengimbas CT pengiraan foton.

Teknologi generasi baharu ini bukan sekadar satu peningkatan mesin, sebaliknya menetapkan penanda aras baharu dalam ketepatan diagnostik dan keselamatan pesakit.

CT pengiraan foton menawarkan resolusi imej ultra tinggi merentasi pelbagai bidang klinikal termasuk kardiologi, neurologi, onkologi, muskuloskeletal, pediatrik dan pulmonologi.

Lebih penting, teknologi ini mampu mengurangkan pendedahan radiasi kepada pesakit, sekali gus meningkatkan keyakinan doktor dalam membuat diagnosis yang tepat dan pantas.

Tidak seperti CT konvensional, teknologi pengiraan foton mengesan dan mengukur setiap foton sinar-X secara individu.

Pendekatan itu membolehkan imej yang dihasilkan menjadi jauh lebih tajam, jelas dan terperinci.

Variasi tisu halus, lesi kecil serta struktur organ dapat dinilai dengan ketepatan luar biasa, sesuatu yang amat kritikal terutama dalam pengesanan awal penyakit.

Kelebihan ini menjadikan imbasan lebih selamat dan selesa, khususnya untuk kanak-kanak, warga emas serta pesakit yang memerlukan pemeriksaan berulang.

Dos radiasi yang lebih rendah bermakna risiko jangka panjang dapat diminimumkan tanpa menjejaskan kualiti imej.

Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG) Datuk Lau Beng Long berkata, pengenalan CT pengiraan foton pertama di Malaysia mencerminkan komitmen berterusan Sunway dalam memperkasakan penjagaan kesihatan melalui inovasi.

“Teknologi ini memberi kelebihan besar kepada pakar klinikal dengan menyediakan alat diagnostik canggih yang meningkatkan ketepatan, menyokong keputusan klinikal yang lebih yakin serta menambah keselesaan pesakit.

“Matlamat kami adalah untuk terus meningkatkan standard penjagaan kesihatan dan menyediakan diagnostik bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Teknologi itu dibangunkan oleh Siemens Healthineers hasil penyelidikan selama beberapa dekad dalam bidang pengesan CT pengiraan foton.

Pengarah Urusan Siemens Healthineers Malaysia Siow Ai Li menyifatkan CT pengiraan foton sebagai pendekatan baharu yang mengubah landskap pengimejan diagnostik global.

Menurutnya, kolaborasi dengan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway membuka lembaran baharu dalam diagnostik tepat di Malaysia, sekali gus membantu pakar perubatan membuat keputusan rawatan dengan lebih cepat dan yakin.

“Keupayaan sistem ini turut diperkukuhkan dengan pengimejan spektrum canggih serta sokongan kecerdasan buatan (AI) seperti ‘myExam Companion’ dan ‘GO Technologies’, yang memastikan hasil imbasan lebih konsisten dan berkualiti tinggi bagi setiap pesakit,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Radiologi Intervensi SMC Dr Adam Pany Abdullah berkata, CT pengiraan foton secara asasnya mengubah cara pakar melihat dan merawat pesakit.

“Resolusi ultra tinggi membolehkan pengesanan lesi kecil dan perubahan halus yang sebelum ini sukar dikenal pasti.

“Imbasan yang lebih cepat pada dos radiasi rendah menjadikan pemeriksaan lebih selamat dan selesa, termasuk untuk kanak-kanak dan warga emas. Daripada sudut doktor, ia meningkatkan aliran kerja serta keyakinan dalam membuat diagnosis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top