Kuala Lumpur : Pasaran pengambilan kerja di Malaysia dijangka kekal perlahan dan bersifat konservatif dalam kebanyakan sektor pada tahun ini dengan pertumbuhan membabitkan bidang utama seperti strategi perniagaan, pendigitalan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Berikutan itu, peluang kerja lebih cerah meliputi sektor dengan permintaan ketara seperti perkhidmatan perlu, teknologi, penjagaan kesihatan, insurans, risiko dan pematuhan selain RE.
Menurut hasil dapatan Kaji Selidik Gaji 2021 Robert Walters yang juga firma pengambilan khidmat pakar profesional, trend konservatif itu dijangka berterusan sekurang-kurangnya bagi separuh pertama tahun ini ketika perniagaan bertindak seiringan dengan impak COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan) PKP 2.0).
“Kaedah konservatif membabitkan pengambilan pekerja pada 2021 itu merujuk kepada aspek seperti cadangan pengambilan yang lebih ketat dengan kebanyakan organisasi mungkin melakukannya di peringkat dalaman bagi mengisi kekosongan jawatan dalam usaha mengawal kos,” kata Pengurus Negara Robert Walters Malaysia dan Filipina, Kimberlyn Lu dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil dapatan kaji selidik itu yang diumumkan pada Rabu, adalah rumusan analisis penempatan pekerjaan dan pandangan kumpulan pakar agensi itu di serata 31 pasaran utama global selain perspektif kira-kira 650 pekerja Malaysia yang mencakupi pelbagai peringkat dan industri serta 180 majikan yang juga pelanggan Robert Walters.
Menyentuh aspek ganjaran, Lu berkata mereka yang sering bertukar kerja boleh menjangkakan kenaikan gaji yang lebih kecil berbanding kenaikan biasa sekitar 12-15 peratus atau lebih rendah berikutan tindakan syarikat mengawal aliran tunai serta bilangan pekerja.
Malah, katanya, separuh daripada responden dalam kaji selidik tersebut merancang untuk membekukan pengambilan pekerja bagi tahun ini sebagai respons terhadap pandemik tersebut.
“Bagaimanapun, sebahagian besar daripada majikan dalam kaji selidik itu juga bercadang untuk melatih atau meningkatkan kemahiran pekerja mereka (53 peratus) selain menambah pelaburan dalam teknologi, aplikasi dan peralatan (42 peratus) pada 2021. Ini menunjukkan penekanan berterusan terhadap aspek pembangunan proses pekerja dan tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata, pasaran kerja bidang perakaunan dan kewangan, perbankan dan perkhidmatan kewangan, kejuruteraan, sumber manusia, undang-undang dan rantaian bekalan dijangka kekal konservatif.
Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa pasaran kerja dalam segmen teknologi dan transformasi diunjur terus berkembang apabila syarikat memberi lebih banyak perhatian terhadap usaha menyediakan asas-asas operasi digital serta melindungi rangka kerja dalam memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.
Selain itu, kalangan calon pekerja juga digesa lebih bersedia dan serba-serbi berpengetahuan secukupnya, bukan sahaja kemahiran teknikal dan pengalaman, tetapi juga kefahaman mendalam mengenai interaksi antara digital dan industri terbabit.
Sumber: BERNAMA
Malay News
Technology Desk



