Teksi rentas sempadan Malaysia-Singapura dipertingkat mulai 4 Mei

Teksi rentas sempadan Malaysia-Singapura dipertingkat mulai 4 Mei

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia akan dipertingkatkan mulai 4 Mei ini untuk kemudahan penumpang, di samping memastikan pengoperasian yang adil terhadap penyedia pengangkutan dan pemandu di kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama, Kementerian Pengangkutan Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia berkata, peningkatan perkhidmatan itu susulan acara retreat pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 yang diadakan pada Disember tahun lalu.

“Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah bekerjasama rapat ke arah mencapai persetujuan serta pelaksanaan penambahbaikan bagi perkhidmatan rentas sempadan.

“LTA dan APAD akan melaksanakan penambahbaikan bermula 4 Mei 2026,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara kemudahan yang dipertingkatkan adalah teksi berlesen dibenar menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di Singapura, manakala di Malaysia melibatkan kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

Katanya, teksi boleh mengambil penumpang di negara asal tanpa sekatan seperti amalan semasa.

“Teksi di negara asing hanya boleh mengambil penumpang di tiga lokasi pengambilan baharu yang ditetapkan melalui tempahan e-hailing,” menurut kenyataan.

Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam menyediakan pilihan pengangkutan rentas sempadan yang selamat dan boleh dipercayai, selain melindungi pendapatan pemandu tempatan daripada perkhidmatan haram.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif LTA, Ng Lang menyifatkan penambahbaikan itu akan meningkatkan kemudahan dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan rakan di Malaysia bagi memastikan pelaksanaan yang berjaya,” katanya.

Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof pula berkata, penambahbaikan merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan pengangkutan antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, pergerakan rakyat merentasi Tambak Johor adalah elemen penting dalam hubungan dua hala, selain menyatakan pihaknya komited untuk menjadikannya lebih lancar dan mudah.

“Usaha ini akan diteruskan dengan meneroka lebih banyak cara bagi memudahkan penumpang pada masa hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top