Teksi robot buat hal, penumpang terkandas

Teksi robot buat hal, penumpang terkandas

Beijing: Beberapa teksi robot Apollo Go milik Baidu tiba-tiba berhenti di jalan raya di bandar Wuhan, China pada 31 Mac lalu sehingga menyebabkan penumpang terkandas dan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan serta kebolehpercayaan teknologi pemanduan autonomi.

Memetik Bloomberg, pihak berkuasa dalam satu kenyataan di Weibo, Polis Wuhan menerima beberapa laporan mengenai kenderaan Apollo Go yang tersangkut di tengah jalan dan tidak dapat bergerak.

Kata kenyataan itu, pegawai polis bekerjasama dengan kakitangan Baidu untuk menangani situasi berkenaan.

“Tidak jelas berapa banyak kenderaan yang terjejas dalam insiden itu, namun penilaian awal menunjukkan masalah itu berpunca daripada kerosakan sistem,” katanya.

Penumpang dilaporkan dapat keluar dari kenderaan dengan selamat dan tiada sesiapa cedera.

Dalam pada itu, Baidu tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan komen yang dihantar melalui e-mel.

Apollo Go adalah penyedia teksi robot terbesar di China dengan ratusan kenderaan di lebih daripada sedozen bandar.

Perkhidmatan itu juga sedang meningkatkan pengembangan antarabangsa.

Kerosakan sistem itu menandakan satu kejadian jarang berlaku pada skala sedemikian bagi industri teksi robot China yang sedang berkembang.

Bagaimanapun, insiden itu dijangka menambah penelitian terhadap sektor berkenaan di peringkat global ketika lebih banyak bandar melancarkan kereta tanpa pemandu.

Pada akhir 2025, beberapa teksi robot Waymo milik Alphabet turut terhenti di tengah perjalanan akibat gangguan bekalan elektrik di San Francisco sehingga menyebabkan penumpang terkandas di dalam kenderaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top