Teladani perjuangan, sumbangan Imam Syafie – Anwar

Teladani perjuangan, sumbangan Imam Syafie – Anwar

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sesuatu pandangan yang ingin dipegang harus mengikut kepada kupasan, kefahaman dan tuntutan semasa atau ‘waqi’ sebagaimana Imam Syafie yang dikenali dengan dua pandangan saling bertentangan iaitu ‘qaul qadim’ atau pandangan terdahulu dan pandangan baharu atau ‘qaul jadid’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, perjuangan dan sumbangan Imam Syafie yang berjasa besar kepada dunia Islam harus diteladani dan difahami khususnya dalam penguasaan berkaitan ijtihad dengan syarat yang ketat.

“Jadi sebab itu kita ada ‘qaul qadim’ iaitu pandangan beliau (Imam Syafie) semasa beliau di Iraq dan juga ‘qaul jadid’ iaitu pandangannya semasa berada di Mesir.

“Dia orang tanya (mengapa) ada percanggahan, tetapi inilah yang disebut fahaman mengikut kupasan, kefahaman dan tuntutan semasa atau ‘waqi’.

“Tetapi ia tetap tidak bercanggah dengan prinsip syariat dan inilah yang membawa dia (Imam Syafie). Masyarakat dengan sandaran ini meningkat kefahaman Islam membawa perubahan dan memahami permasalahan semasa tetapi tidak berganjak daripada tonggak iaitu akidah dan syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak INTIM, di sini, hari ini.

Anwar berkata, prinsip seakan sama turut mahu diterapkan dalam pentadbirannya termasuk apabila kerajaan baru-baru ini memutuskan hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan atau ‘orang kaya’ yang akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

“Sebab itu tarif elektrik yang baru saya umumkan, walaupun dahulu dikatakan akan naik tetapi Alhamdulillah bila kita ambil alih (kerajaan) kita tak naikkan. Tetapi kalau tak naik sama sekali dia akan jadi masalah sebab subsidi terlalu tinggi.

“Jadi, kita ambil keputusan agar jangan ganggu orang B40 dan M40, merangkumi 80 peratus rakyat tidak dibebankan. (Sebaliknya) yang diminta bayar (lebih), itu pun bukan bayar untuk kerajaan tetapi untuk bayar kos dia (penjanaan elektrik) iaitu kepada T20 atau ‘orang kaya’ yang rumahnya besar-besar.

“Padahal dahulu keputusan kerajaan terdahulu kata (tarif elektrik) akan naik. Saya kata tak naik, yang naik hanya untuk orang kaya. Jadi kita kena cari kaedah lah, (iaitu) yang miskin jangan dikacau.

“Yang kaya itu kita nak pertahankan pasal apa? Kamu kaya, ada pendapatan RM50,000, RM100,000, bahkan ada yang RM1 juta sebulan, maka bayarlah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd