RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam insiden tembak-menembak anggota polis di beberapa kawasan kejiranan miskin di sini, sehingga mendapat kecaman kumpulan hak asasi manusia.
Media tempatan melaporkan, operasi besar-besaran terhadap pengedar dadah itu menyebabkan seorang anggota polis terbunuh dalam serangan awal di Jacarezinho di sebelah utara Rio, dengan penduduk sekitar terkejut dengan bunyi letupan, tembakan dan helikopter.
Polis mengenal pasti 24 yang maut sebagai ‘suspek’, bagaimanapun kumpulan hak asasi dan akademik memberitahu terdapat sedikit bukti yang menyokong kenyataan daripada pihak berkuasa itu.
“Siapa yang mati? orang muda berkulit gelap. Itulah sebabnya polis bercakap mengenai ’24 suspek’. Menjadi golongan muda dan berkulit gelap serta tinggal di kawasan kejiranan ini menjadikan anda sebagai suspek kepada polis.
“Mereka (polis) terus mengangkat mayat dan berkata golongan itu semuanya penjenayah,” kata Ketua Keselamatan Balai Cerap di Universiti Candido Mendes, Silvia Ramos.
“Adakah ini kebijaksanaan keselamatan awam yang kita mahukan? Tembakan, pembunuhan beramai-ramai oleh polis?,” katanya kepada AFP.
Sekumpulan besar anggota polis bersenjata berat dapat dilihat memasuki lokasi kejadian, menyebabkan penduduk yang menjalankan perniagaan di kawasan itu ketakutan selepas tembakan mengakibatkan ramai terbunuh, kata wartawan AFP.
Penduduk melaporkan melihat mayat terbaring dengan berlumuran darah, sebelum dibawa keluar oleh kenderaan polis berperisai, kata seorang pemimpin setempat memberitahu AFP dan meminta namanya tidak disiarkan atas alasan keselamatan.
Polis mengatakan operasi itu menyasarkan kumpulan yang disyaki merekrut kanak-kanak dan remaja untuk aktiviti mengedar dadah, merompak, melakukan serangan dan pembunuhan.
Pihak berkuasa itu juga berkata, serangan dibuat selepas pihaknya mendapatkan waran hasil intipan komunikasi daripada suspek.
“Intipan membawa kita mengenal pasti 21 anggota kumpulan berkenaan yang bertanggungjawab mengawal wilayah di kawasan ini.
“Hasil maklumat diperoleh, kumpulan itu juga menyusun struktur gaya perang dengan ratusan ‘tentera’ dilengkapi dengan senapang, pistol, bom tangan, pakaian kalis peluru dan pakaian penyamaran serta aksesori ketenteraan lain,” katanya.
Rio, sebuah bandar yang mempunyai seramai 6.7 juta penduduk terkenal dengan kejadian keganasan.
Ia juga ditempatkan di bawah campur tangan ketenteraan pada tahun 2018 dalam usaha kerajaan untuk mengekang keganasan yang meliputi sejarah beberapa kejadian anggota polis ditembak.
Pada tahun lalu, sekurang-kurangnya 1,245 orang terbunuh ditembak polis di negeri itu, menurut ISP, institusi keselamatan awam Rio. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




