Tembok pagar runtuh akibat hujan

Tembok pagar runtuh akibat hujan

PETALING JAYA: Hujan yang melanda ibu negara petang tadi menyebabkan tembok pagar sebuah kediaman di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur runtuh.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.46 petang itu tidak melibatkan sebarang mangsa.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Petaling berhubung kejadian tersebut sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 7 malam dan mendapati kejadian tanah runtuh benar-benar berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

“Runtuhan itu melibatkan tembok pagar sebuah kediaman dengan anggaran keluasan 20 x 40 kaki persegi.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa terlibat dan keadaan di lokasi adalah selamat kerana tiada lagi pergerakan tanah dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, kejadian berkenaan turut dimaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tindakan susulan.

“Ia termasuk pemantauan di lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top