Temerloh Skatepark meriah, Kejohanan Papan Luncur Terbuka Temerloh 2025 tarik bakat muda

Temerloh Skatepark meriah, Kejohanan Papan Luncur Terbuka Temerloh 2025  tarik bakat muda

Temerloh: Aksi padu, lenting papan, dan sorakan penonton mewarnai Skatepark Temerloh apabila Kejohanan Papan Luncur Terbuka Temerloh 2025 berlangsung penuh bergaya dengan kehadiran 47 peserta dari seluruh negara, baru-baru ini.

Bertarung dalam dua kategori membabitkan Skateboard Tertutup Pantai Timur dan Skateboard Open Malaysia, acara anjuran Majlis Belia Daerah Temerloh bersama Komuniti Skate Temerloh itu berjaya mencuri perhatian pengunjung yang membanjiri kawasan taman luncur sejak awal pagi.

Mencuri tumpuan, sudah tentu kehadiran nama besar dunia skate tempatan seperti Zanul Mutaqim (Sarawak), Kieron Brodie dan Fikri Fauzi (Kuala Lumpur) serta MoMo Khan (Selangor) yang juga bakal atlet negara ke Olimpik. Aura mereka bukan saja menceriakan acara, malah menjadi pencetus semangat buat peserta muda untuk terus meluncur ke hadapan.

Menurut wakil penganjur, kejohanan itu bukan sekadar medan beraksi tetapi juga platform mencungkil bakat baharu, memperkukuh jaringan komuniti sukan ekstrem, dan menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

“Skate bukan lagi sekadar hobi tepi jalan. Ia kini jadi satu gerakan yang mampu membentuk jati diri, disiplin dan kreativiti anak muda,” kata jurucakap Majlis Belia Daerah Temerloh.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 11 malam itu menyajikan pelbagai aksi gempak antaranya daripada ollie, kickflip hinggalah cabaran trick paling kreatif, sekali gus membuktikan bakat tempatan mampu pergi jauh.

Sokongan turut hadir daripada Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Program Rakan Muda, yang melihat acara seperti ini penting dalam memperkasakan potensi belia luar bandar.

Presiden MBNP, Saharuddin Ahmad, menyifatkan penganjuran seperti ini perlu diteruskan demi melahirkan lebih ramai ikon sukan ekstrem negara.

“Skateboard bukan sekadar sukan, ia satu budaya. Dan Temerloh membuktikan, budaya ini hidup dengan semangat anak muda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top