Tempahan biskut raya berkurang

Tempahan biskut raya berkurang

KUALA LUMPUR – “Tahun ni tempahan tak banyak macam dulu,” itulah keluhan peniaga biskut raya, Ainin Tasnim Samad.

Katanya, jika dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini hanya lebih 200 balang sahaja yang terjual.

“Tahun lepas kita dapat jual 500 lebih balang kuih raya, tapi tahun ni tak dapat,” kata wanita berusia 32 tahun itu ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Menurutnya, beliau menjangka penurunan jumlah tempahan disebabkan peningkatan kos sara hidup menyebabkan orang ramai memilih untuk lebih berjimat.

“Saya naikkan harga sikit sahaja, sebelum ni sebalang saya jual RM25 tapi sekarang saya jual RM30 hingga RM33. Naik pun dalam RM5 hingga RM7,” katanya.

Antara kuih raya yang dijual oleh Ainin Tasnin Samad

Bagaimanapun, beliau mengambil inisiatif lain dengan menjual kek tapak kuda yang tular di media sosial.

Katanya, beliau mampu mengaut keuntungan hanya dengan penjualan kek tapak kuda ini.

“Kek tapak kuda ni pernah ‘viral’. Inti yang paling digemari antaranya ialah ‘nutella matcha’ dan ‘kinder bueno.

“Permintaan kek ini sangat tinggi. Sehari boleh mencecah 500 hingga 1000 batang. Jadi hasil penjualan kek tapak kuda ini sedikit sebanyak balikkan modal saya,” katanya. – MalaysiaGazette