Tempurung kepala dibuang akibat langgar lari

Tempurung kepala dibuang akibat langgar lari

am@hmetro.com.my

Seremban: Hanya dalam sekelip mata, hidup seorang anggota polis berubah sepenuhnya selepas dilanggar lari dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, tiga bulan lalu.

Akibat kemalangan di Jalan Bukit Nenas, berhampiran Taman Rimbun Indah, di sini, kira-kira jam 7.55 pagi itu, sebahagian tempurung kepala Mohd Fairus Khamis, 42, dibuang.

Isterinya, Rozalina Jaafar, 39 berkata, dia dan dua anak berusia empat serta 11 tahun seolah hilang tempat bergantung harap apabila suaminya kini hanya terbaring kaku tanpa suara.

Tambah Rozalina, selepas tiga bulan terlantar di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan dan pembedahan, akhirnya suaminya itu dibenarkan pulang ke rumah kira-kira dua minggu lalu.

“Keadaan suami seperti berada dalam dunia sendiri, tiada sebarang pergerakan hanya matanya sahaja yang kadang-kadang berkelip.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada dia boleh dengar apa yang kita cakap atau tidak kerana tiada apa-apa tindak balas,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, kemalangan itu menyebabkan suaminya yang bertugas di Balai Polis Rahang mengalami pendarahan teruk dan separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

“Sepanjang di hospital, suami menjalani lima pembedahan di kepala bagi mengeluarkan air. Doktor memaklumkan, suami sukar untuk kembali ke keadaan sedia kala.

“Ini kerana dia mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Bagaimanapun, saya tidak putus berdoa dan mengharapkan kejaiban daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan dua anaknya mengenai keadaan Mohd Fairus, Rozalina berkata, perkara itu amat menyentuh perasaannya.

Ini kerana katanya, dua anaknya itu sering bertanya adakah bapa mereka akan sembuh dan sedar, namun semakin hari, mereka mulai memahami situasi bapa yang sakit.

Rozalina berkata, meskipun sudah tiga bulan insiden kemalangan itu berlaku, namun sehingga kini suspek yang melanggar lari suaminya masih belum dapat dikesan.

Justeru itu dia berharap mana-mana saksi yang mengetahui kejadian terbabit tampil bagi membantu siasatan.

Sebelum ini media melaporkan anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar lari dalam kejadian di Jalan Bukit Nenas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz seorang diri dari arah Sendayan menghala ke Sungai Ujong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top