Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran bertemu aktivis Arun Dorasamy di Kompleks Mahkamah Jawi, Pulau Pinang semalam nampaknya mencetuskan polemik apabila DAP sendiri tampil menyuarakan ketidaksetujuan.
Tidak setuju kehadiran Kulasegaran
Memetik laporan daripada Harian Metro, Perkara itu disuarakan tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang mengakui isu tersebut menimbulkan persoalan terhadap integriti sistem perundangan negara.
“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran Kulasegaran bertemu Arun ketika aktivis terbabit didakwa di mahkamah, terutama apabila beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang Timbalan Menteri Kerajaan MADANI.
“Kami ambil maklum mengenai penjelasan Kulasegaran berhubung isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan lebih tinggi terhadap persepsi awam.
“Ini terutama berkaitan prinsip keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” kata mereka.

Sebelum ini, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menjelaskan kehadirannya di mahkamah hanyalah singgah seketika dan bukan memasuki bilik perbicaraan.
“Saya singgah di mahkamah untuk bercakap dengan Arun mengenai kepercayaan terhadap proses undang-undang sementara beliau bersedia berdepan prosiding akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, empat pemimpin DAP itu menegaskan parti berkenaan tidak pernah membuat sebarang keputusan rasmi untuk menyokong atau cenderung kepada kes melibatkan Arun.
“DAP perlu mengambil pendekatan seimbang dengan mempertahankan prinsip keadilan, termasuk konsep ‘tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya’, sambil menghormati proses undang-undang.
“Selain itu, mengelakkan sebarang tindakan boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau berat sebelah,” katanya.
Artikel lain: Sambut 60 tahun, DAP angkat tema Malaysia Untuk Rakyat Malaysia!
Untuk rekod, Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, didakwa di Mahkamah Majistret Jawi atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam menerusi video di Instagram miliknya di Ikea Batu Kawan, Pulau Pinang pada 12 Mac 2025.
Sumber: Harian Metro (Muhammad Yusri Muzamir)




