Wartawan Harian Metro
Ipoh: Kebiasaannya tapak perkhemahan terletak di kawasan pedalaman atau jauh dari bandar.
Uniknya bagi lokasi perkhemahan di Clamping Xscape Tambun ia terletak berhampiran ibu kota negeri Perak.
Justeru tidak timbul mengenai masalah talian telefon sukar dihubungi atau perkhidmatan internet kurang memuaskan.
Pengarahnya, Justin Leong berkata selain tidak berdepan masalah dari segi talian telekomunikasi reka bentuk khemah yang disediakan mempunyai standard tinggi selain suasana menarik memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Beliau yang meminati bidang rekaan dan mengilhamkan konsep perkhemahan menarik itu mahu memberi kepuasan kepada pelanggan.
“Melalui beberapa kajian menerusi online yang saya buat bersama isteri masyarakat di Malaysia agak bimbang dengan cuaca panas. Jadi saya mengilhamkan khemah besar yang berukuran 3.8 meter tinggi dan 4.6 meter lebar untuk keselesaan pelanggan yang menginap di sini.
“Khemah ini dilengkapi dengan bantal, tilam, selimut, elektrik, kipas dan tandas yang tidak berkongsi dengan khemah lain.
“Mereka juga boleh memasak dengan dapur standard yang disediakan. Selain mempunyai pilihan untuk kami menyediakan makanan berdasarkan harga berpatutan,” katanya yang memulakan operasi sejak April lalu.
Selain itu, kata Jason kemudahan tempat letak kereta dan kawasan lapang di Clamping Xscape Tambun juga sesuai dianjurkan pelbagai acara perhimpunan, kem motivasi dan sebagainya.
Clamping Xscape Tambun juga terletak kira-kira satu kilometer dari taman tema Lost World Of Tambun dan di belakang kawasan X Park Ipoh.
Tambahnya, bagi mereka yang ingin merasai suasana mencabar dan tenang pula boleh memilih Xscape Tambun yang berkonsepkan resort dikelilingi gua batu kapur dan alam semula jadi yang menyamankan.
“Xscape Tambun yang mula dibuka sejak November 2019 juga lokasi sesuai kepada mereka yang mahu melakukan pelbagai aktiviti outdoors mencabar.
“Antaranya flying fox, cave adventure di 6 Mile Tunnel, Limestone Hill Climbing dan banyak lagi,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej menarik yang ditawarkan layari laman web https://www.xscapetambun.com/ atau hubungi 012-5226355.
@xscape.tambun
© New Straits Times Press (M) Bhd




