Manchester: Erik ten Hag masih menaruh harapan bahawa Manchester United akan terus meletakkan beliau untuk membimbing pasukan itu walaupun pengurusan kelab sedang membincangkan masa depannya di Old Trafford.
Kedudukan Ten Hag sebagai pengendali masih samar selepas mesyuarat lebih enam jam lembaga pengarah United di London, dengan Ten Hag mengambil kesempatan bercuti ketika rehat perlawanan antarabangsa.
Pengendali dari Belanda itu yakin dia masih sehaluan dengan pemilik kelab dan akan kembali membimbing pasukan untuk aksi menentang Brentford.
Pemilik bersama, Jim Ratcliffe mengadakan mesyuarat di ibu pejabat INEOS di Knightsbridge dipercayai kedudukan Ten Hag antara perkara yang dibincangkan.
United akan melayan kunjungan Brentford kendalian Thomas Frank pada Sabtu di Old Trafford. Ten Hag akan kembali ke Carrington minggu depan untuk membuat persiapan bagi perlawanan itu.
Anak buah Ten Hag kini menghuni tangga ke-14 liga dengan hanya dua kemenangan selepas tujuh perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




