KUALA LUMPUR – Aspek keselamatan dan profesionalisme dalam sektor pembinaan antara perkara utama yang perlu dititikberatkan.
Ini kerana sektor pembinaan antara sektor yang banyak menyumbang kepada kadar kemalangan dalam pekerjaan saban tahun.
Berdasarkan statistik laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada tahun 2020 mencatatkan kes tertinggi
pekerja maut di tapak pembinaan iaitu sebanyak 58 kes.
Pensyarah, Jabatan Pengurusan Pembinaan,Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom berkata, tenaga buruh yang kurang profesional antara faktor utama berlakunya insiden di tapak pembinaan.
“Pada pandangan saya sekiranya pekerja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan mempunyai profesionalism yang sangat tinggi, kecekapan, kepakaran dan berpengalaman, perkara ini tidak akan berlaku.
“Antara faktor lain mungkin disebabkan kegagalan reka bentuk, kegagalan pembinaan oleh kontraktor serta penggunaan bahan binaan yang tidak mengikut piawaian atau spesifikasi.
“Namun begitu, kita perlu melihat sejauh mana amalan keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak yang terlibat dalam sebuah projek.” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Ujarnya lagi, kebergantungan kepada tenaga buruh asing yang terlalu tinggi juga faktor penyumbang peningkatan kes kemalangan sektor pembinaan di negara ini.
Oleh itu, pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) bagi pembinaan jalan raya perlu ditingkatkan.
Amalan PKKP bukan sahaja membabitkan pengurusan keselamatan terhadap pekerja binaan, bahkan turut mengutamakan keselamatan manusia dan persekitaran.
Sehubungan itu, Md Asrul berkata, kontraktor mahupun mereka yang mempunyai kaitan dengan projek berkenaan perlu mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 yang ditetapkan.
“Bagi saya, mereka yang profesional pastinya faham prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan yang perlu dipatuhi membabitkan kesihatan dan keselamatan di tapak pembinaan.
“Selain itu, kontraktor perlu menyediakan polisi keselamatan yang ketat, penilaian kualiti dan penyelenggaran yang bersistematik. Malah perlu mencari mekanisma yang boleh mengekang kemalangan di tapak pembinaan” katanya.
Beliau juga mencadangkan pihak kontraktor dapat mengeluarkan kos perbelanjaan bagi pengurusan keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya.
Ia sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan di tapak bina dan bukannya sebagai satu bebanan kepada syarikat. -MalaysiaGazette.




