Tenang sebelum ribut – Amorim kembali berdepan tekanan di Anfield

Tenang sebelum ribut – Amorim kembali berdepan tekanan di Anfield

London: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, sepatutnya menikmati sedikit ketenangan sepanjang rehat antarabangsa selepas menerima sokongan daripada pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe, namun bakal berdepan semula kancah getir Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menentang Liverpool, Ahad ini.

Ratcliffe mencadangkan agar Amorim, yang kini berdepan tekanan hebat, diberikan tempoh penuh tiga tahun kontraknya untuk memperbaiki prestasi United, meskipun setakat ini tiada bukti kukuh bahawa pengendali dari Portugal itu mampu melakukannya.

Kemenangan ke atas juara bertahan yang kini bergelut dengan prestasi tidak menentu akan bermakna dua kemenangan berturut-turut dalam EPL buat pertama kali sejak Amorim mengambil alih hampir setahun lalu.

Namun, sekiranya United tumbang di Anfield, kepercayaan Ratcliffe terhadapnya bakal menjadi persoalan.

Ratcliffe sebelum ini melantik bekas jurulatih Sporting itu selepas pemecatan Erik ten Hag, tetapi setakat ini hanya memperoleh 10 kemenangan daripada 34 perlawanan EPL.

Ratcliffe sebelum ini menyamakan permulaan sukar Amorim dengan perjalanan awal Mikel Arteta di Arsenal yang kini berjaya menjadikan pasukan itu pencabar kejuaraan konsisten namun perbandingan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemerhati.

“Saya faham niat perbandingan itu, tetapi jika dilihat berdasarkan fakta, saya rasa Arteta bukan individu yang sesuai untuk dijadikan perbandingan.

“Kalau kita lihat Amorim, tidak banyak konsistensi atau perkara positif yang dapat diperhatikan.

“Saya hanya mahu melihat keputusan yang lebih stabil daripada pasukan ini,” kata bekas pertahanan United yang pernah memenangi pelbagai kejuaraan, Rio Ferdinand, dalam podcastnya.

Musim lalu, United mencatat keputusan seri 2-2 menentang Liverpool antara sedikit detik positif dalam musim yang penuh kekecewaan.

Amorim menerima sokongan besar dalam jendela perpindahan musim panas, dan meskipun ada tanda-tanda peningkatan, pasukan itu kini berada di tangga ke-10 liga serta masih gagal memperoleh rentak konsisten.

Dua pemain baharu, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko, dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan baik, namun Matheus Cunha masih gagal memberikan impak selepas berpindah dari Wolverhampton Wanderers.

Dia masih belum menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam saingan EPL.

“Saya cuba sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri, untuk belajar… Baru dua bulan saya di sini, tetapi terasa seperti sudah lama kerana situasi semasa kelab,” kata Cunha ketika bersama skuad kebangsaan Brazil baru-baru ini.

Dia bukan satu-satunya pemain baharu yang masih tercari-cari rentak, dengan Florian Wirtz dari Liverpool turut belum menonjol sejak menyertai kelab itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top