Istanbul: Turkiye mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah negara itu dengan bacaan 50.5 darjah Celsius direkodkan di wilayah tenggara negara.
Menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar, pada Jumaat bacaan itu direkodkan di Silopi, daerah dalam wilayah Sirnak yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan Iraq dan Syria, pada Khamis lalu.
Ia sekali gus memecahkan rekod sebelumnya iaitu 49.5 darjah Celsius yang dicatatkan pada Ogos 2023.
Kementerian itu turut mendedahkan, 132 stesen meteorologi di seluruh negara merekodkan suhu tertinggi bagi Julai tahun ini, sekali gus menandakan gelombang haba ekstrem sedang melanda.
Turkiye sedang bergelut dengan suhu panas melampau yang turut menyebabkan kebakaran hutan di beberapa kawasan.
Di Wilayah Karabuk, pasukan bomba masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran sejak empat hari lalu, manakala beberapa perkampungan terpaksa dikosongkan sebagai langkah keselamatan.
Tragedi turut berlaku di Wilayah Eskisehir pada 23 Julai lalu apabila 10 individu maut ketika memadamkan api.
Beberapa pihak berkuasa tempatan juga terpaksa mengenakan sekatan penggunaan air termasuk di destinasi pelancongan terkenal Cesme berhampiran Izmir, di pantai barat Turkiye.
Negara jiran, Greece turut dilaporkan berdepan gelombang haba dan kebakaran hutan di beberapa kawasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




