Tenggelam setiap kali banjir

Tenggelam setiap kali banjir

am@hmetro.com.my

Kuantan: Ketika Monsun Timur Laut yang lalu, Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini antara laluan utama yang terjejas teruk akibat banjir.

Sekurang-kurangnya lebih 0.7 meter paras air direkodkan, menenggelamkan terus laluan itu hingga sukar dilalui kenderaan.

Demi keselamatan pengguna jalan raya, pihak berkuasa menutup sementara jalan berkenaan pada 17 Disember lalu hingga banjir mulai pulih pada 19 Disember.

Sebagai alternatif, penduduk terpaksa menggunakan jalan lain yang lebih jauh untuk ke pusat bandar, Gambang, Pekan mahupun ke Kuala Lumpur.

Serik dengan keadaan itu, penduduk menzahirkan harapan agar laluan berkenaan dinaik taraf.

Muhamed Shaipudin Ali, 64, berkata, kerja menaik taraf itu perlu disegerakan untuk mengelak pengguna terputus hubungan setiap kali berlakunya banjir.

“Ini kerana jalan ini di kedua-dua hala, sama ada arah ke Kuantan atau Pekan, akan tenggelam dan tidak boleh dilalui semua kenderaan apabila banjir.

“Sebagai pengguna utama laluan ini, saya harap kerajaan mempertimbangkan kerja menaik taraf demi keselesaan dan keselamatan kami,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Muhammad Haliman Abdul Hamid, 41, turut menyatakan harapan sama dan mahu Kementerian Kerja Raya memberi keutamaan kepada keperluan menaik taraf jalan itu.

“Jalan Kuantan-Pekan ini adalah laluan utama dan sewajarnya dilaksana kerja naik taraf supaya keadaannya lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan bersama Roadcare (M) Sdn Bhd sebelum ini, laluan yang mudah ditenggelami air di Jalan Kuantan-Pekan adalah membabitkan Seksyen 319 yang sepanjang 1.2 kilometer arah Kuantan dan Pekan.

Ketika banjir lalu, paras air di bahagian kiri jalan direkodkan setinggi 0.77 meter manakala di bahagian kanan mencecah 0.87 meter iaitu paras yang melebihi had penutupan penuh kepada semua jenis kenderaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top