Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menegur segelintir wakil rakyat yang hanya dilihat aktif ketika hampir musim pilihan raya, sebaliknya kurang turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat sepanjang tempoh memegang amanah.
Rajinkan diri turun ke jabatan kerajaan
Memetik laporan daripada Berita Harian, baginda bertitah, setiap wakil rakyat perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan rajin turun naik jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan isu rakyat dapat diselesaikan dengan segera.
“Bukannya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Rajinkan diri turun naik jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan.
“Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya. Selesaikan dengan segera.
“Kalau perlu, turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil yang dipilih oleh rakyat. Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah baginda.

Gesa isu 3R segera dihentikan
Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut menegaskan isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) perlu dihentikan demi menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu.
“Justeru, saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang,” titah baginda.
Baginda turut menitahkan agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat, sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian hendaklah mematuhi sepenuhnya lunas undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.
Tegasnya, keharmonian rakyat harus terpelihara dan tidak menjadi punca kepada sebarang persengketaan antara kaum dan agama.
mahu sektor pelancongan Pahang diperkasa
Dalam pada masa sama, baginda mahu sektor pelancongan Pahang diperkasakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan tidak hanya bergantung kepada Genting Highlands serta Cameron Highlands sahaja.
“Kita ada pelbagai destinasi menarik. Saya mahu EXCO Pelancongan, Tourism Pahang dan semua yang berkaitan mesti proaktif,” titah baginda lagi.

Titah tersebut dibuat baginda sewaktu Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 hari ini.
Sumber: Berita Harian (Asrol Awang)




